Skuad badminton wanita negara menamatkan penantian 16 tahun apabila mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Uber 2026 selepas membelasah Afrika Selatan 5-0 dalam aksi Kumpulan B di Forum Horsens, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia yang menewaskan Turkiye 3-2 dalam aksi pembukaan semalam, mara ke kelompok lapan terbaik buat kali pertama sejak edisi 2010 di Kuala Lumpur.
Perseorangan utama, K Letshanaa tidak berdepan masalah untuk menghadiahkan mata pertama selepas menundukkan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 dalam tempoh 22 minit.
Menurut Letshanaa, fokus utama pasukan adalah membina keyakinan dan mendapatkan rentak terbaik menjelang aksi terakhir kumpulan menentang juara enam kali, Jepun, esok.
“Kami mahu mendapatkan keyakinan dan pada masa sama kekal fokus dari awal kerana kami tidak boleh mengambil mudah mana-mana perlawanan.
“Kemenangan ini memberi keyakinan untuk dibawa ke perlawanan menentang Jepun dan saya juga berpuas hati dapat mengekalkan fokus sejak mata pertama,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Tambahnya, dia semakin selesa dengan keadaan gelanggang selepas dua perlawanan dilalui.
“Selepas dua perlawanan, saya semakin menyesuaikan diri dengan keadaan angin, kelajuan bulu tangkis dan persekitaran gelanggang,” katanya.
Wong Ling Ching kemudian menebus kekecewaan aksi pertama apabila menyumbang mata kedua dengan kemenangan 21-8, 21-4 ke atas Chloe Lai.
Malaysia mengesahkan kemenangan awal menerusi perseorangan ketiga, Siti Zulaikha Muhammad Azmi yang menewaskan Elme De Villiers 21-11, 21-5.
Beregu muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting menambah mata keempat selepas menewaskan Johanita Scholtz-Amy Ackerman 21-16, 21-14.
Pasangan Chong Jie Yu-Low Zi Yu melengkapkan kemenangan bergaya apabila mengatasi Elme De Villiers-Anri Schoonees 21-12, 21-5.
Kejayaan itu menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Uber dengan mara ke suku akhir buat kali ketiga selepas edisi 2004, 2008 dan 2010. – BH ONLINE




