MalaysiaPilihan Editor

KKM Guna Kaedah 5P Dalam Pengurusan Pemerolehan Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi fokus kepada lima spek (5P) dalam menguruskan pemerolehan dan penggunaan vaksin COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelima-lima aspek itu adalah pendaftaran keselamatan, pembekalan, pemberian vaksin, pemantauan kesan sampingan dan penilaian keberkesanan vaksinasi atau ringkasnya 5P.

Bercakap pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM hari ini, beliau berkata pendaftaran vaksin COVID-19 merupakan aspek utama yang akan dilakukan KKM dalam memastikan vaksin yang diterima berkesan dan selamat.

”Vaksin itu perlu didaftarkan dengan FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan) Amerika Syarikat dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, KKM.

“Misalnya, jika syarikat farmasi Pfizer gagal mendaftar di bawah FDA, maka segala persetujuan akan terbatal,” kata Dr Noor Hisham merujuk kepada perjanjian yang dipersetujui dengan syarikat farmasi untuk membekalkan vaksin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengenai Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini tahun depan.

Mengenai 6.4 juta rakyat Malaysia negara ini yang akan menerima vaksin itu, Dr Noor Hisham berkata vaksin itu akan diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan untuk petugas kesihatan, petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai imuniti rendah.

Beliau berkata, pada masa ini 12 vaksin sudah diuji pada peringkat penyelidikan fasa ketiga klinikal namun masih belum ada laporan lengkap mengenai satu vaksin pun.

Dr Noor Hisham berkata buat masa ini KKM hanya memperoleh laporan keberkesanan mengenai satu-satu vaksin daripada media dan media sosial.

“Bila KKM lihat laporan, kita (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai keberkesanan, kesan sampingan (vaksin) dan sebagainya.

“Ini penting sebelum vaksin dapat didaftarkan. Kalau vaksin tidak dapat daftar, mungkin ada isu-isu keselamatan dan sebagainya, maka kita (KKM) tidak pakai vaksin itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas kebimbangan orang awam mengenai kemungkinan berlakunya jangkitan virus COVID-19 daripada produk sarung tangan keluaran kilang Top Glove, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada laporan diterima berhubung perkara itu.

“Setakat ini, tiada laporan jangkitan dari sarung tangan. Sarung tangan perlu melalui proses tertentu dan kini belum ada laporan dibuat secara rasmi mengenai jangkitan (dari sarung tangan),” katanya. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close