Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: PROTON Bakal Lancar SUV Baharu Tidak Lama Lagi

Selepas timbul pelbagai desas-desus mengenai pengenalan model terkini sejak hampir dua tahun lalu, Proton Holdings Bhd (PROTON) akhirnya akan melancarkan secara rasmi kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya tidak lama lagi.

Meskipun nama rasmi belum didedahkan lagi, model yang berkemungkinan besar dikenali sebagai Proton X90 sudah dihasilkan di kilang pengeluaran PROTON di sini, selepas dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata pengeluaran SUV ketiga Proton selepas X70 dan X50 sepatutnya diperkenalkan tahun lalu, tetapi tertangguh disebabkan cabaran COVID-19 dan isu rantaian bekalan yang dihadapi sektor automotif.

“SUV canggih ini akan dilancarkan tidak lama lagi. Bagi menunjukkan komitmen PROTON terhadap peralihan kenderaan elektrik (EV) secara beransur-ansur, model baharu ini juga akan tampil dengan varian ‘mild’ hibrid.

Majlis itu disempurnakan oleh Saarani. Turut serta, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.

 

Geely Haoyue yang dipercayai menjadi model asas kepada PROTON X90.
Geely Haoyue yang dipercayai menjadi model asas kepada PROTON X90.

 

 

Geely Haoyue yang dipercayai menjadi model asas kepada PROTON X90.
Geely Haoyue yang dipercayai menjadi model asas kepada PROTON X90.

 

Sementara itu, Roslan berkata, model baharu itu adalah SUV ketiga dalam rangkaian Proton, yang akan membantu mengukuhkan kedudukan jenama itu sebagai jenama SUV paling popular di Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, SUV baharu itu juga akan menjadi model pertama yang menawarkan teknologi hibrid, menandakan kemunculan Proton dalam ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Katanya, ia adalah satu lagi langkah yang diambil oleh PROTON dalam komitmennya untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV kepada rangkaiannya sebagai permulaan terhadap EV yang pertama dikeluarkan secara tempatan.

“Sebelum ini, syarikat telah menandatangani perjanjian untuk mengedarkan EV smart di Malaysia dan Thailand, dan juga telah menghantar 16 jurutera ke China untuk menjalani latihan enam bulan yang memberi tumpuan kepada semua aspek yang membabitkan kenderaan berkenaan.

“Upacara line-off hari ini menandakan permulaan aktiviti yang membawa kepada pengenalan rasmi model terbaru PROTON. Selepas permulaan pengeluaran, kami akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu kami, yang juga akan menandakan produk NEV pertama kami.

“Ini adalah langkah penting dalam perjalanan NEV kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” katanya.

Dalam pada itu, pengeluar kereta nasional melancarkan penambahan terbaharu kepada kilangnya di Tanjung Malim di mana mesin baharu itu mampu menghasilkan 50 komponen unik menggunakan kuasa sehingga 2,500 tan.

Rangkaian stamping baharu bernilai RM140 juta adalah yang terbesar di Malaysia dan berpotensi mengurangkan pengimportan komponen tahunan syarikat sebanyak 115,000 unit.

Kerja-kerja pembinaan rangkaian stamping baharu PROTON bermula pada awal bulan April 2021 dengan pemasangan jentera bermula pada bulan Julai 2022 dan siap sepenuhnya menjelang Disember.

Terdapat lima mesin stamping dengan satu mesin yang mampu menggunakan daya 2,500 tan dan dua mesin setiap satu dengan daya tekanan masing-masing 1,200 tan dan 1,000 tan.

Rangkaian stamping baharu ini menggunakan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen kerja dan menggunakan teknologi IR 4.0 data masa nyata dan proses pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti bahagian yang dihasilkan.

Mengulas mengenainya, Roslan berkata, barisan baharu itu boleh menghasilkan sehingga 50 komponen unik, meningkatkan kandungan tempatan untuk model SUV Proton kerana barangan seperti panel badan kini boleh dihasilkan di Tanjung Malim.

“Ini membawa faedah tambahan untuk mengurangkan kebergantungan syarikat pada komponen yang diimport, melindunginya daripada sebarang kemungkinan gangguan kepada perdagangan global, dan menambah baik bekalan alat ganti tempatan.

“Pelancaran rangkaian stamping baharu kami di Tanjung Malim adalah tambahan besar kepada keupayaan pengeluaran kereta PROTON. Sebagai jenama automotif nasional, peningkatan penggunaan alat ganti sumber tempatan dalam aktiviti pengeluaran kami adalah penting kepada ekosistem automotif negara dan membantu mengurangkan aliran keluar dana dari negara.

“Selain daripada berpotensi menambah 115,000 unit kepada jumlah pengeluaran syarikat, rangkaian stamping baharu ini juga membolehkan lebih fleksibiliti untuk membuat keputusan terhadap jumlah pengeluaran kami setiap bulan dan meningkatkan kepantasan untuk menghasilkan model baharu secara tempatan,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close