Ekonomi Islam & GlobalGovernansPilihan Editor

Johari Ketuai Lawatan Kerja Ke Kenya, Komitmen Malaysia Memperkukuh Hubungan Ekonomi, Perdagangan & Pelaburan

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai delegasi Malaysia ke Kenya untuk lawatan kerja bermula hari ini hingga 8 Mei.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam satu kenyataan, berkata lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara Afrika, khususnya dalam sektor komoditi dan perladangan.

“Sepanjang tempoh lawatan kerja itu, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya.

“Perbincangan akan menumpukan kepada perluasan kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor minyak sawit serta komoditi utama lain.

Beliau turut dijadualkan menghadiri sesi dialog dan meja bulat bersama pemain industri bagi mengenal pasti bidang strategik kerjasama, mengukuhkan rangkaian perdagangan serta mempromosikan minyak sawit Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya.

“Kenya dianggap sebagai rakan strategik penting kepada Malaysia bukan sahaja dalam konteks dua hala, malah sebagai pintu masuk ke pasaran serantau yang lebih luas.

“Negara itu adalah ahli Komuniti Afrika Timur (EAC) yang terdiri daripada lapan negara dengan jumlah penduduk melebihi 330 juta orang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kesatuan Kastam EAC yang ditubuhkan pada 2005 membolehkan produk yang memasuki mana-mana negara anggota seperti Kenya diedarkan secara bebas ke seluruh rantau tanpa cukai tambahan.

“Itu memberi kelebihan kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport terutamanya minyak sawit secara lebih kos efektif. Pada 2024, Kenya adalah pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di rantau Sub-Sahara Afrika, menyumbang 42 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau berkenaan.

“Malaysia juga mengekalkan pegangan pasaran utama sebanyak 85 peratus di Kenya,” katanya.

Katanya, Kenya kini memegang jawatan Pengerusi Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara EAC serta Majlis Menteri-Menteri EAC, menjadikannya pemain utama dalam pembentukan dasar perdagangan serantau.

“Misi ekonomi itu dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia Kenya, memanfaatkan kedudukan Kenya sebagai peneraju rantau dan mengembangkan jejak Malaysia di Afrika Timur.

“Ia turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap amalan perdagangan yang bertanggungjawab, mampan dan saling menguntungkan dalam sektor komoditi,” katanya. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close