Dimensi Bisnes

BACALAH AUTO: PROTON Yakin e.MAS 7 Bakal Jadi EV Paling Laris Malaysia

Proton Holdings Bhd (PROTON) yakin Jelajah Proton e.MAS 7 akan membantu pengeluar kereta nasional itu untuk mencapai matlamat menjadikan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di negara ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata jelajah ke seluruh negara yang bermula 5 Oktober 2024 sehingga awal November ini, akan membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan dengan lebih dekat model EV pertama Proton itu.

“Selain memberi peluang kepada rakyat Malaysia melihat dengan lebih dekat kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C ini, jelajah itu akan memperlihatkan daya tahan Proton e.MAS 7, menunjukkan ketahanan baterinya, badan dan kabin yang mantap serta banyak lagi,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran jelajah itu di sini.

Sementara itu, PROTON dalam kenyataan berkata pelancaran jelajah itu turut menandakan kejayaan perjalanan panjang jelajah dunia pandu uji E5 Geely, dan kini Proton e.MAS 7 pula memulakan lembaran baharu inovasi dan menjelajah ke seluruh Malaysia.

“Selepas itu ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis, diteruskan melalui Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum ke Malaysia Timur bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak,” katanya.

PROTON berkata, strateginya adalah untuk meluaskan penerimagunaan EV dan mengukuhkan ekosistem tempatan, antaranya dengan mewujudkan perkongsian strategik dan berkongsi ilmu untuk menangani kebimbangan berkaitan sektor itu.

Menurutnya, selain itu kerjasama dengan Geely telah membolehkan Proton e.MAS 7 dibangunkan selari dengan Geely E5, menggabungkan teknologi bertaraf dunia dalam penyelesaian mampan yang disesuaikan khusus untuk rakyat Malaysia.

“Berdasarkan ketahanan dan kebolehpercayaan yang ditunjukkan Geely E5 ketika perjalanan sejauh 3,700 kilometer dari China ke Malaysia, Proton e.MAS 7 direka untuk mengharungi pelbagai keadaan.

“Bermula dengan berdepan cuaca mencabar, sehingga mempamerkan kecemerlangan kejuruteraannya, Proton e.MAS 7 bersedia untuk meninggalkan impak yang berkekalan,” katanya. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close