Ekonomi Islam & GlobalPilihan Editor

Bank Islam Bersedia Jadi Penyedia Kewangan Syariah-ESG

Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) komited menjadi penyedia penyelesaian kewangan berasaskan Syariah-Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Syariah-ESG) menjelang 2025 dengan menerajui perbankan digital dan kewangan sosial.

Dengan mengamalkan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), hala tuju Bank Islam dibentuk melalui enam tonggak strategi utama iaitu kemakmuran yang lestari; budaya berasaskan nilai; pemerkasaan komuniti, berpusatkan pelanggan; ekonomi sebenar dan digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata pihaknya akan terus memperkasakan aliran perniagaan menjelang 2025 menerusi lima pemacu perniagaan iaitu pengurusan kekayaan; kewangan sosial; bank digital; enterpris dan perbankan borong.

Beliau berkata, lima pemacu perniagaan itu dipaksikan kepada profil pelanggan utama iaitu perbankan pengguna, perbankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); perbankan komersial, perbankan korporat, perbendaharaan, deposit dan pengurusan tunai serta anak syarikat pelaburannya, BIMB Investment Management Bhd.

“Digitalisasi adalah pemboleh infrastruktur teras untuk menyokong keseluruhan enam tonggak strategik,” katanya kepada BH mengulas mengenai rancangan masa depan Bank Islam.

Bank Islam dijadual bakal menjadi institusi kewangan Islam penuh pertama disenaraikan di Bursa Malaysia Ogos ini.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam melihat penularan COVID-19 sebagai peluang untuk bergerak maju secara lestari meskipun kemunculan pandemik itu memberi cabaran kepada persekitaran perniagaan.

Beliau berkata, kesan jangka panjang penularan virus itu menimbulkan persoalan mudah terhadap operasi perniagaan dijalankan dan cara untuk membetulkannya sekiranya wujud kesalahan sistemik.

Justeru, katanya, Bank Islam cakna dengan trend yang muncul pasca impak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti digitalisasi dalam perusahaan dan gaya hidup.

Mengenai kedudukan modal Bank Islam selepas penstrukturan semula BIMB Holdings Bhd (BHB) yang menyaksikan Bank Islam

mengambil alih status penyenaraian BHB di Bursa Malaysia, Mohd Muazzam berkata, kedudukan modal Bank Islam selepas penstrukturan dijangka terus kukuh berikutan pemerolehan anak syarikat BHB.

Beliau berkata, jumlah modal Bank Islam setakat 31 Disember 2020 adalah 19.8 peratus, lebih tinggi berbanding industri iaitu 18.3 peratus.

“Pelaksanaan penyusunan semula BHB membuka laluan bagi Bank Islam muncul sebagai institusi kewangan Islam penuh senaraian awam pertama di Malaysia.

“Bank Islam diberi autonomi penuh menjalankan strategi korporat dan perniagaan serta menerapkan inisiatif pengurusan permodalan sebagai institusi kewangan Islam yang tulen.

“Cadangan pemindahan penyenaraian BHB kepada Bank Islam akan meningkatkan pasaran korporat dan modal Malaysia melalui penyelesaian kewangan Islam yang tulen, apabila pelabur diberi peluang untuk melabur secara langsung di Bank Islam melalui pelaburan dalam saham baharu Bank Islam.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut menjangkakan jumlah pertumbuhan aset sekitar 10 peratus pada 2021, disokong terutama oleh pertumbuhan pembiayaan bersih sebanyak lapan peratus membabitkan segmen runcit dan PKS, pelaburan dalam sekuriti sebanyak 12 peratus, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan sebanyak 12 peratus. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close