Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: XC90 Serba Baharu: Ikon Moden, Direka Semula Untuk Era Elektrik

Rekaan luaran dan antaramuka pengguna baharu menjadikan SUV Volvo Cars ini selangkah lebih dekat dengan model elektrik sepenuhnya

Volvo XC90 ialah sebuah ikon moden yang kekal relevan dengan reka bentuk abadi.

Gabungan praktikaliti dan keselamatannya yang terbukti menjadikannya model pilihan ramai sejak sekian lama.

Kini, XC90 serba baharu hadir di Malaysia dengan pelbagai kemas kini teknologi dan reka bentuk, menjadikannya SUV hibrid tujuh tempat duduk yang lebih baik dari sebelumnya.

Dengan rekaan luaran dan antaramuka pengguna baharu yang menyerlahkan kesinambungan dengan model elektrik sepenuhnya oleh Volvo Cars, XC90 baharu juga menampilkan kokpit yang direka semula dengan paparan tengah yang lebih besar, suspensi dan material dalaman yang ditambah baik, serta penebat bunyi yang dipertingkatkan untuk keselesaan unggul.

XC90 baharu ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa – T8 hibrid plug-in atau B5 hibrid ringan – kedua-duanya menggunakan enjin 2.0 liter bersama transmisi Geartronic lapan kelajuan yang memacu semua roda. Motor elektrik dalam XC90 Ultra T8 menghasilkan kuasa gabungan maksimum 462 hp dan tork 709 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat dan penggunaan bahan api serendah 1.8 liter bagi setiap 100 km². Sementara itu, XC90 Ultra B5 menghasilkan kuasa maksimum 263 hp dan tork 390 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Di Malaysia, kedua-dua varian XC90 baharu ditawarkan dalam trim Ultra yang merangkumi paparan tengah 11.2-inci, paparan pemandu 12.3-inci, Pilot Assist generasi baharu dengan kawalan pelayaran adaptif, kamera 360 darjah, audio Bowers & Wilkins High Fidelity, tempat duduk hadapan berkuasa dan berpengudaraan dengan fungsi memori serta sokongan lumbar empat arah, bumbung panoramik dengan bidai kuasa, dan sistem pendingin hawa empat-zon.

Empat pilihan warna ditawarkan – Onyx Black, Denim Blue, Crystal White dan Vapour Grey – semuanya dipadankan dengan dalaman Charcoal, upholsteri kulit Nappa Charcoal berpengudaraan, serta hiasan kayu Grey Ash.

Varian Ultra T8 ditawarkan tanpa kenaikan harga berbanding model tahun sebelumnya, iaitu RM434,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM434,457 untuk Sabah dan Sarawak. Manakala varian Ultra B5 pula berharga RM418,888 dan RM418,457¹.

XC90 baharu ditawarkan dengan perkhidmatan digital lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan. Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.

Ikon Moden yang Baharu

Rekaan luaran baharu merupakan perubahan rupa utama pertama untuk XC90 generasi baharu. Bahagian hadapan kini tampil dengan grafik pengambilan udara baharu, lampu utama yang lebih langsing, bonet yang dibentuk semula dan bampar serta fender yang diperbaharui – memberikan sentuhan dinamik kepada rekaan abadi yang diinspirasikan oleh cita rasa Scandinavia.

Bahagian dalaman turut diberi nafas baharu dengan papan pemuka yang lebih mendatar dan hiasan premium bertekstur, diapit oleh corong udara menegak baharu. Pencahayaan dalaman yang ditambah baik pula menyumbang kepada suasana yang lebih premium pada waktu malam.

Konsol tengah juga direka menjadi lebih praktikal dengan tambahan pemegang cawan dan ruang simpanan, manakala pengecas telefon tanpa wayar kini dipisahkan daripada ruang utama untuk kemudahan pengguna.

Teknologi Hibrid Canggih

Rangkaian kuasa T8 hibrid plug-in menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 77 km mengikut kitaran ujian WLTP² – sesuai untuk perjalanan harian tanpa pelepasan emisi.

Data global Volvo Cars menunjukkan bahawa secara purata, 48% jarak pemanduan kenderaan hibrid plug-in Volvo dilakukan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya³.

Untuk perjalanan jauh, enjin petrol akan menyambung perjalanan dengan jarak tambahan sekitar 800 km⁴. Pemandu juga boleh menggabungkan kuasa elektrik dan petrol untuk pemanduan AWD berterusan atau pemanduan luar jalan.

Varian B5 pula menggunakan sistem hibrid ringan dengan bateri lithium-ion 48v dan penjana permulaan bersepadu yang membantu mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api sehingga 15% dalam pemanduan sebenar. Sistem ini turut dinaik taraf untuk pembakaran lebih cekap dan penjimatan bahan api tambahan sebanyak 2%².

Antaramuka Pengguna yang Lancar dan Intuitif

Perubahan besar lain terletak di dalam kabin – skrin utama 11.2-inci yang kini mempunyai ketumpatan piksel 21% lebih tinggi untuk resolusi yang lebih tajam.

Skrin ini menampilkan antaramuka pengguna generasi baharu yang dikongsi dengan Volvo EX90.

Paparan ini membolehkan akses pantas kepada peta, media dan sambungan – mengurangkan keperluan untuk menekan berulang kali.

Ia juga bersifat pintar, dengan bar kontekstual yang belajar tabiat pemandu dan memaparkan aplikasi yang paling relevan mengikut situasi – seperti ikon kamera 360° ketika bergerak perlahan, atau aplikasi penstriman muzik kegemaran semasa berhenti dan mengecas.

Untuk XC90 Ultra T8, antara muka baharu ini memudahkan peralihan antara kuasa elektrik, enjin pembakaran atau gabungan kedua-duanya menerusi fungsi “Drive Modes” yang kini dipaparkan di skrin utama. Di sini, pemandu boleh mengakses mod seperti “Pure”, “Hybrid” dan “Performance” dengan hanya satu sentuhan.

Keselesaan Legenda, Kini Standard

Keselesaan XC90 yang terkemuka didorong oleh sistem casis aktif dengan suspensi udara pada keempat-empat roda – memberikan keseimbangan ketinggian automatik dan menyesuaikan diri 500 kali sesaat dan berpandukan keadaan jalan serta gaya pemanduan.

Suspensi ini boleh menurun 20mm untuk aerodinamik dan kestabilan pada kelajuan tinggi, atau meninggikanya sebanyak 40mm untuk pemanduan lasak.

Sistem peredam kawalan elektronik juga menyesuaikan dirinya mengikut permukaan jalan untuk pemanduan yang lebih selesa dan responsif.

Kabin turut diberi penebat bunyi yang lebih baik dengan penggunaan buih akustik dalam tiang serta sistem peredaman frekuensi baharu untuk mengurangkan bunyi jalan dan angin – suasana ideal untuk sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity yang menawarkan pengalaman audio seperti konsert dengan 19 pembesar suara, teknologi eksklusif Nautilus™ dan Continuum™ dan diperkemas dengan teknologi Dirac Unison™ Tuning.

Antara Kereta Paling Selamat di Jalan Raya

Seperti semua model Volvo, XC90 baharu mengekalkan reputasinya sebagai antara kenderaan paling selamat. Ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan canggih serta Safe Space Technology untuk melindungi penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Dengan Pilot Assist yang dipertingkatkan serta sistem brek automatik dan bantuan stereng, teknologi keselamatan aktif dan pasif XC90 telah menerima pengiktirafan lima bintang dari Euro NCAP dan anugerah IIHS Top Safety Pick+.

Tempahan Dibuka Bulan April

Volvo XC90 baharu telah tiba di bilik pameran pada pertengahan April lalu dan pelanggan boleh mengunjungi laman web Volvo Car Malaysia atau pengedar sah Volvo terpilih untuk membuat tempahan pandu uji.

Untuk maklumat lanjut mengenai XC90 baharu atau rangkaian kenderaan elektrik Volvo Car Malaysia, sila lawati www.volvocars.com/my atau ikuti kami di Facebook di bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close