GovernansPilihan Editor

Eksport Koko Cecah RM3.6 bilion Sehingga Jun – Pengerusi Lembaga Koko Malaysia

Perolehan eksport koko dan produk koko mencecah RM3.6 bilion sehingga Jun 2022, kata Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), Rahimah Majid.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan adalah berikutan permintaan yang tinggi di luar negara dan harga produk-produk koko yang berada pada paras yang memberangsangkan.

“Berdasarkan perkembangan suku pertama dan suku kedua nilai eksport koko, kita akan mencapai sasaran lebih daripada RM7 bilion, dan saya harap tahun hadapan pencapaian akan lebih baik.

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus bangga dengan coklat yang dihasilkan di Malaysia kerana kualitinya tidak kurang hebat dan sangat sedap serta kompetitif dengan keluaran negara luar.

Pada tahun 2021, eksport coklat adalah sebanyak 68,000 tan bernilai RM1 bilion dengan kebanyakan produk coklat dieksport ke negara Jepun (20.7 peratus), China (12.5 peratus) dan negara-negara ASEAN iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia.

“Pengeluaran produk koko seperti coklat telah berkembang dengan pesat. Peningkatan eksport coklat dalam tempoh 11 tahun (2010 hingga 2021) adalah sebanyak 267 peratus iaitu dari RM272 juta hingga RM1 bilion.

“Eksport coklat ini dijangka terus meningkat berikutan permintaan yang tinggi di luar negara,” kata Rahimah.

Tambahnya, bagi pasaran domestik, usahawan coklat buatan tangan bimbingan LKM telah mengeluarkan sebanyak 90 tan coklat bernilai RM5.5 juta tahun lalu dan mereka disasarkan mencapai 94 tan produk coklat, bernilai RM6 juta pada tahun ini.

“Bagi memastikan produk-produk yang dihasilkan daripada usahawan coklat adalah berkualiti dan kompetitif dengan produk dari luar negara, fokus diberikan kepada pembangunan pembungkusan dan pengeluaran produk-produk yang kreatif dan unik serta produk coklat premium seperti coklat single origin dan coklat organik,” katanya.

Sementara itu, MCCD 2022 dianjurkan selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober 2022 di Mid Valley Exhibition Centre bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai tanaman koko dan produk-produk berasaskan koko, kesedaran mengenai kebaikan dan khasiat koko serta mempromosikan produk koko keluaran pengisar, pengilang dan usahawan coklat.

Acara menghimpunkan 31 pempamer terdiri daripada enam pengilang, 17 usahawan coklat, dua usahawan produk koko bukan makanan, tiga pembekal peralatan dan pembungkusan, Koperasi Kluster Koko, Usahawan Produk Berasaskan Lada dan Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Keselamatan Makanan).

Sempena MCCD 2022, satu produk coklat turut dilancarkan ‘Coklat Gelap Tanpa Gula dengan Prebiotik’ yang keluarkan oleh usahawan syarikat AOM Sdn Bhd iaitu usahawan coklat, bimbingan LKM. -BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close