Governans

67.2 Peratus Kembali Bekerja Sehingga 17 Mei – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kira-kira 10.25 juta atau 67.2 peratus pekerja telah mula bekerja semula sehingga 17 Mei menurut laporan Jabatan Perangkaan, peningkatan daripada 6.64 juta atau 43.6 peratus pada 10 Mei.

Beliau berkata angka tersebut mengambil kira mereka yang bekerja dari rumah dan merangkumi pelbagai sektor ekonomi seperti perkhidmatan, pertanian, pembuatan serta perlombongan dan pengkuarian.

“Peningkatan angka pekerja yang bekerja semula menunjukkan bahawa pembukaan ekonomi pada 4 Mei oleh kerajaan, Alhamdulillah, setakat ini berjalan dengan lancar untuk membolehkan pekerja mencari rezeki harian,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Ketujuh Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.

Menyentuh isu pengekalan pekerjaan, Tengku Zafrul berkata berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan bertarikh 29 Mei, kadar pengangguran negara pada suku pertama 2020 berada pada tahap 3.5 peratus.

“Memandangkan betapa seriusnya cabaran COVID-19 kepada ekonomi kebanyakan negara, ini merupakan peningkatan yang masih dalam kawalan berbanding 3.3 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Sebagai perbandingan, Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran pada suku pertama di Filipina adalah 5.3 peratus daripada 4.5 peratus pada suku sebelumnya, Sepanyol 14.41 peratus, peningkatan daripada 13.78 peratus pada suku sebelumnya dan New Zealand 4.2 peratus daripada 4.0 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata ia menunjukkan COVID-19 memberi kesan kepada pekerjaan di peringkat global.

Menurut Menteri Kewangan itu, berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan mendapati situasi yang dihadapi orang ramai dan perniagaan adalah amat mencabar.

Beliau berkata, sebagai contoh, setiap empat daripada 10 pekerjaan bergantung kepada industri pelancongan, iaitu antara yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, sektor industri pendidikan tinggi yang bernilai RM35 bilion kepada ekonomi negara pula, bakal menghadapi cabaran ekoran kekangan menarik pelajar antarabangsa.

“Malah, daripada 67 peratus pekerja yang telah kembali bekerja, masih ada kira-kira lima juta pekerja pelbagai sektor yang belum memulakan pekerjaan antaranya disebabkan dalam senarai aktiviti dilarang atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk memastikan faktor keselamatan dan kesihatan yang terjamin,” katanya.

Tengku Zafrul berkata menurut dapatan syarikat kajian Ipsos, 62 peratus daripada rakyat Malaysia sangat bimbang terhadap ancaman COVID-19 kepada mereka.

“Tahap kebimbangan ini adalah yang tertinggi dalam kalangan warga negara-negara lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan peka terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pekerja dan rakyat di negara ini.

Katanya kerajaan tidak mengambil mudah kesan COVID-19 ke atas nyawa dan kehidupan dan sentiasa memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi.

“Pakej PRIHATIN adalah antara manifestasi usaha yang diambil kerajaan demi rakyat dan negara,” kata Tengku Zafrul. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close