Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda enam negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak terus meningkat kepada 35,261 mangsa daripada 10,743 keluarga, setakat jam 7.40 pagi ini.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 29,022 orang (8,745 keluarga).
Setakat ini, sebanyak 150 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di sembilan daerah negeri berkenaan.
Di Terengganu, seramai 5,845 mangsa banjir (1,882 keluarga) sedang berlindung di 144 PPS yang beroperasi di enam daerah, manakala di Kedah, lima PPS telah dibuka yang menempatkan 180 mangsa banjir (58 keluarga).
Di Perlis pula, tiga PPS sedang beroperasi yang menempatkan 166 mangsa banjir, selain masing-masing satu PPS dibuka di Johor (28 mangsa banjir) dan Perak (20 mangsa banjir).
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 11,626 (32.97 peratus) adalah lelaki dewasa, 12,537 (35.55 peratus) perempuan dewasa; 5,189 (14.72 peratus) kanak-kanak lelaki; 4,955 (14.05 peratus) kanak-kanak perempuan; 509 (1.44 peratus) bayi lelaki; dan 445 (1.26 peratus) bayi perempuan.
Seterusnya, 1,217 (3.45 peratus) lelaki warga emas; 1,417 (4.02 peratus) wanita warga emas; 632 (1.79 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki; dan 414 (1.17 peratus) OKU perempuan. – BH ONLINE