Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menegaskan bank perlu mengawasi kakitangannya yang melanggar undang-undang atau bersekongkol dengan penjenayah kewangan untuk mengubah wang haram.
ABM juga mahu setiap bank memandang serius terhadap pelanggaran undang-undang dilakukan kakitangan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
“Bank perlu menilai tahap kesalahan serta pembabitan kakitangan sebelum mengenakan tindakan yang sesuai ke atas mereka yang terbabit,” kata jurucakap ABM kepada BH.
Bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan semua institusi kewangan perlu melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang transaksi mencurigakan seperti termaktub di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, serta undang-undang subsidiarinya.
BNM turut mengeluarkan garis panduan dan amalan terbaik (best practices) kepada institusi pelapor bagi membantu pelaksanaan keperluan pengubahan wang haram/pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) secara berkesan, seperti pemprofilan risiko pelanggan, mengenal pasti kewujudan penipuan kewangan melalui tanda-tanda amaran (red flags) serta memahami kaedah-kaedah dan trend jenayah kewangan terkini.
Katanya, ini bagi memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak bank tidak disalahgunakan oleh penjenayah.
“Bank juga mempunyai pelbagai rangka kerja pencegahan AML/CFT untuk sentiasa memantau transaksi pelanggan bagi mengenal pasti dan mengurangkan risiko penipuan/pengubahan wang haram.
“Malah, bank melaksanakan langkah kawalan, dasar dan prosedur mereka sendiri yang sesuai untuk memastikan proses yang jelas dan dipatuhi untuk melindungi daripada penipuan serta pengubahan wang haram.
“Langkah-langkah kawalan yang ketat, dasar dan prosedur ini, seperti yang berkaitan dengan ‘due diligence’ dan sistem pemantauan transaksi untuk mengesan dan melaporkan transaksi yang mencurigakan, adalah sejajar dengan dasar yang ditetapkan pengawal selia,” katanya.
Dalam melindungi pelanggan dan bank daripada risiko jenayah kewangan, ABM berkata, dalam usaha mencegah jenayah kewangan, pihak bank juga perlu melatih kakitangan masing-masing, malah mengeluarkan pekeliling dalaman untuk memberikan maklumat mengenai modus operandi transaksi penipuan yang terkini kepada kakitangan mereka.
“Pekeliling ini memberi kewaspadaan dan bimbingan kepada kakitangan tentang kaedah yang paling berkesan untuk mengesan dan mencegah penipuan.
“Kakitangan dilatih untuk terus berwaspada, untuk membolehkan mereka mengenal pasti aktiviti yang mencurigakan dengan segera, sekali gus melindungi daripada jenayah kewangan dan transaksi penipuan,” katanya. – BH ONLINE