Oleh wartawan BacalahMalaysia.my
Kemenangan luar biasa !
The Giant Killer, itulah jolokan baharu kepada Datuk Razali Idris yang telah menumbangkan penyandang sejak 1990, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Razali yang juga Pengerusi BERSATU Terengganu yang juga Ketua Penerangan BERSATU, memperoleh 13,403 undi dengan majoriti 3,758 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad mempertahankan kerusi DUN Kijal yang disandang sejak 1990 dengan majoriti 1,265 undi.
Ketika ditemui Razali atau panggilan mesra TokLi menyifatkan kemenangan beliau adalah kemenangan bersama rakyat DUN Kijal yang sangat memberi kerjasama dan bekerja keras sepanjang tempoh kempen bagi memenangi kerusi berkenaan.
“Ini adalah perubahan besar yang berlaku dalam DUN Kijal.
“Bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan Ahmad Said (Datuk Seri) kerana keunggulannya bertahan selama sembilan penggal, pada awalnya sukar bagi saya untuk menewaskan beliau.
“Saya sendiri tidak menduga menang dengan majoriti yang agak besar.
“Memandangkan saya kali pertama bertanding di sini,” katanya pada pemberita selepas diumumkan menang di kerusi berkenaan.
Keputusan rasmi DUN Kijal diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N30 Kijal, Hanum Isa @ Ghazali di Dewan Sivik Kijal, malam tadi.
Kemenangan besar gabungan PAS dan BERSATU di Terengganu membawa mesej jelas rakyat menolak gabungan Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) dan memilih Perikatan Nasional (PN). – BACALAHMALAYSIA.MY/BH ONLINE