Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini, hari ini pada usia 86 tahun.
Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, sebentar tadi.
Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, portal Malaysiakini memetik Gurdial sebagai berkata, pengebumian Allahyarham akan dibuat pagi ini.
Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – BH ONLINE