Pilihan EditorTwo Cents

KAKI BEDAL: Tak Payah Nak Jadi Hero…lah!

Oleh Kaki Bedal

Sejak berita mengenai beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat kerana didakwa menyalahguna kuasa, masyarakat tidak kira siapa terus menuding jari kepada satu-satunya agensi anti rasuah di negara ini.

Pelbagai persepsi negatif dilontarkan saban hari termasuk dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen khususnya pakatan pembangkang yang tidak henti-henti terus menyerang SPRM itu khususnya ketika sesi Dewan Rakyat bersidang di Parlimen.

Seorang demi seorang Yang Berhormat bangun memberikan pandangan mengenai kes ini seolah-olah bersepakat sesama sendiri dan tidak cukup daripada itu ada yang mengadakan sidang media di ruang lobi Parlimen.

 

Malah ada juga yang mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara bertujuan agar tidak mempengaruhi kes siasatan yang sedang dijalankan.

Bersikap matanglah sikit.

Takkanlah setiap kali bila ada kes salah guna kuasa, Ketua Jabatan atau Ketua Pengarah perlu direhatkan?

Jika melihat kepada kes rasuah membabitkan pegawai agensi penguatkuasa lain misalnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Jabatan Imigresen, tiada pula dengar desakan daripada YB ini untuk meminta Ketua Pengarah agensi berkenaan direhatkan sementara.

Agak-agaknya mereka ini mempunyai agenda tertentu atau sekadar mencari sasaran terpilih mungkin disebabkan ada di antara Ahli Parlimen ini juga sedang berdepan dengan kes mahkamah selepas didakwa terlibat dengan kes rasuah.

Dalam hal ini, geng pembangkang ini dilihat seolah-olah mahu menjadi ‘hero’ kononnya mahu memperjuangkan isu rasuah ini kepada rakyat sedangkan banyak lagi isu lebih penting yang sepatutnya diutamakan ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19.

Sebagaimana kita tahu, SPRM mempunyai kaedah siasatannya sendiri dan turut mendapat pengiktirafan dunia dalam menyelesaikan sesuatu kes misalnya kes 1MDB dimana SPRM berjaya mendapatkan sebahagian daripada dana yang hilang berjumlah berbilion ringgit dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.

Apa yang dikesalkan ialah kadang-kala masyarakat suka membuat penilaian sendiri mendahului keputusan undang-undang dan ini adalah satu perkara yang tidak adil kepada agensi anti rasuah yang perlu bertanggungjawab kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika ini.

Sehubungan itu, berilah peluang kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan membuktikan bahawa mereka benar-benar telus dan tidak berkompromi kepada mana-mana pihak termasuk pegawai sendiri yang menyalahgunakan kuasa.

Adalah tidak wajar terus menjatuhkan hukuman kepada SPRM yang banyak berjasa menangani kes-kes rasuah di negara ini umpama ‘wira yang tidak didendangkan’ kerana tanpa mereka mungkin ketirisan dana kerajaan tidak dapat diatasi ataupun sempadan negara mudah dibolosi tanpa kita sedari.

Sebenarnya kes salah laku boleh berlaku di mana-mana bukan hanya di agensi kerajaan semata-mata walaupun segala peraturan dan undang-undang sedia ada yang sudah cukup jelas memihak kepada semua penjawat awam.

Seperti kata peribahasa, ‘Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ boleh digambarkan situasi yang dihadapi SPRM ketika ini kerana tidak semua pegawainya terlibat dengan salah guna kuasa. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis ialah seorang pengamal media lebih tiga dekad dan pemerhati sosio-politik semasa.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close