Dimensi BisnesPilihan Editor

Belanjawan 2023: Galak Pembangunan Industri EV

Insentif lebih holistik ke atas kenderaan elektrik (EV) perlu dijadikan antara tumpuan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 bagi memastikan industri automotif berkembang dengan teratur.

Penganalisis automotif, Shamsul Yunos, berkata selepas berjaya melancarkan pencetus pasaran EV dalam bentuk pelepasan cukai import, cukai jualan dan cukai jalan kepada kenderaan alaf baharu itu, kini tiba masanya untuk kerajaan melancarkan penggalak untuk memastikan anjakan kepada EV berlaku dengan teratur dan berkesan.

“Oleh kerana hampir setiap tinjauan pendapat meletakkan kekurangan infrastruktur sebagai antara tiga kerisauan utama kita perlu menggalakkan pemasangan rangkaian pengecas secepat mungkin.

“Fokus perlu diberikan kepada rangkaian pengecas kerana dua faktor lain adalah prestasi bateri dan harga kereta, dua elemen yang sukar untuk dikawal kerana kita masih belum memiliki teknologi bateri mahupun menghasilkan EV sendiri,” katanya kepada BH.

“Hab pengecas berkuasa tinggi yang menempatkan beberapa unit memerlukan bekalan kuasa seperti berpuluh atau beratus unit rumah. Ini menyebabkan kos sambungan agak tinggi.

Beliau menjelaskan, insentif kewangan yang tepat, sama ada dari segi dana bantuan, atau penggalak lain amat diperlukan pada peringkat awal di mana kadar penggunaan pengecas sangat rendah.

Katanya, tanpa insentif, pihak yang membangunkan stesen pengecas mungkin memilih untuk memperlahankan rancangan dan menunggu sehingga jumlah EV lebih banyak.

“Insentif juga perlu disalurkan kepada pengguna supaya mereka boleh mengundi menggunakan kuasa pembeli. Sebagai contoh kerajaan boleh menawarkan pelepasan cukai untuk kos langganan kepada rangkaian pengecas.

“Dengan ini, pengguna boleh memilih rangkaian yang paling sesuai. Insentif melalui pengguna menggunakan kuasa pasaran sebagai penapis untuk memastikan hanya rangkaian yang dibina untuk memaksimumkan kepenggunaan akan menerima bantuan,” katanya.

 

Fokus perlu diberikan kepada rangkaian pengecas dengan menyelesaikan beberapa masalah utama seperti kos tersorok - NSTP/Genes Gulitah
Fokus perlu diberikan kepada rangkaian pengecas dengan menyelesaikan beberapa masalah utama seperti kos tersorok – NSTP/Genes Gulitah

 

Seorang lain penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, insentif EV yang lebih bersasar perlu diperkenalkan untuk memastikan pengguna dapat menerima faedah sewaktu pemilikan, bukan hanya ketika pembelian sahaja

“Contohnya, rebat cukai pendapatan selama individu/syarikat memiliki EV, parkir/tol percuma untuk EV dan lain-lain,” katanya.

Hezeri berkata, insentif membabitkan pengurangan cukai atau duti import untuk barang mentah dan mesin bagi sektor pembuatan EV juga dilihat penting yang akan menjana sektor pembangunan komponen EV untuk negara dan rantau Asia Tenggara.

“Kerajaan perlu berusaha untuk melindungi industri pembuatan komponen EV dalam negara dan rantau ASEAN menerusi peningkatan cukai untuk komponen EV yang diimport.

“Insentif untuk menurunkan harga pakej pajak untuk kenderaan EV boleh diperkenalkan, selain perlindungan hak cipta lebih lengkap dan telus untuk meningkatkan industri penghasilan teknologi berkaitan dengan EV,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah mengulangi cadangannya supaya kerajaan memperkenalkan subsidi pemilikan sebanyak RM5,000 kepada rakyat sebagai pertukaran kepada kenderaan baharu berharga di bawah RM60,000.

Sambil mengharapkan semua insentif yang telah dibentangkan dalam Bajet 2023 dikekalkan dan ditambah baik dalam Belanjawan 2023, Roslan berkata subsidi berkenaan bukan sekadar dapat meningkatkan pemilikan kereta baharu mampu milik, malah mengurangkan jumlah kenderaan lama di jalan raya.

“Kerajaan juga perlu memperluaskan insentif EV kepada kenderaan hibrid elektrik (HEV), kenderaan ‘plug-in’ hibrid elektrik (PHEV) dan kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) dalam usaha mempercepatkan peralihan kepada kenderaan tenaga baharu itu.

“Ia juga untuk memaksimumkan penggunaan yang dilengkapi teknologi baharu dan ciri memelihara alam sekitar,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close