Dimensi BisnesPilihan Editor

Nestle Kukuhkan Integriti Produk Halal Ketika Pandemik

Sebagai pengeluar makanan halal terbesar di dunia Nestle (Malaysia) Bhd bertanggungjawab dan terus komited memperkukuhkan integriti halal agar dapat terus menjaga keyakinan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestlé dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Halal, Nestlé Malaysia, Othman Mohd Yusoff, berkata sebagai peneraju industri makanan tempatan melebihi 100 tahun, pihaknya bangga menjadi jenama utama industri halal global yang mengeksport produk makanan halal buatan tempatan ke lebih 50 negara.

“Peranan kami di Nestle dalam pembuatan produk halal dan terbabit dengan pelbagai aktiviti rantaian bekalan makanan termasuk pengeluaran, penyimpanan, pergudangan dan pengedaran produk halal.

Nestle Malaysia menerajui piawaian halal dalaman yang diguna pakai sebagai dasar dan pendekatan untuk semua syarikat Nestlé di dunia dalam penerapan nilai serta pengeluaran produk halal pada tahun 1997.

Bagi pasaran yang mempunyai peraturan halal, keperluan yang lebih ketat akan dipatuhi supaya tahap integriti dan kredibiliti pensijilan halal sentiasa terjaga.

Othman berkata, Nestle menjalankan pengauditan halal ke atas pembekal untuk memastikan setiap proses termasuk pemilihan bahan mentah, pembuatan produk dan logistik bukan sahaja memenuhi aspek pematuhan malah menepati keperluan kualiti serta keselamatan makanan.

“Kami juga memastikan pematuhan halal yang baik daripada segi pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan bagi menjamin produk halal sentiasa dilindungi di dalam pembungkusan serta kontena.

“Nestle juga akan memastikan semua produk kami disimpan dalam persekitaran bersih dan terhindar daripada sebarang pencemaran,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dan halangan operasi serta rantaian bekalan pada musim pandemik COVID-19, beliau berkata

Nestlé sudah meneliti dan menilai risiko gangguan terhadap rantaian bekalan sejak awal lagi.

“Nestle merangka strategi dan inisiatif bagi langkah memastikan kesinambungan integriti halal dengan bekalan termasuk bahan mentah, ramuan dan bahan pembungkusan terkawal.

“Ini usaha dijalankan bagi menjamin pengeluaran dan pengedaran makanan atau minuman kami kepada pengguna tidak terputus.

“Cabarannya pula dalam memastikan pematuhan piawaian halal berterusan dalam rantaian bekalan ketika pandemik ini. Sekatan pergerakan dan batasan aktiviti pekerja di lokasi sedikit sebanyak mengganggu kebolehupayaan kami untuk turun padang melaksanakan audit serta penilaian halal,” katanya.

Namun, cabaran itu dapat diatasi segera dengan mengambil langkah proaktif seawalnya seperti mengubahsuai dan menyusun semula prosedur audit serta penilaian halal Nestle.

“Kami melaksanakan audit secara virtual. Keadaan ini membolehkan Nestle terus memantau pematuhan halal dan memastikan jaminan produk halal kepada pengguna di dalam situasi pandemik yang mencabar ini.

“Selain keupayaan audit, penilaian dan perbincangan secara virtual, kami juga memberi latihan serta bantuan teknikal dengan kaedah sama untuk meningkatkan pemahaman dalam memberi bimbingan meneruskan kawalan halal yang baik dalam kalangan pembekal kami,” katanya.

Pihaknya juga memanfaatkan hubungan baik dengan rangkaian pakar halal global dan badan pensijilan halal antarabangsa membolehkan kerjasama jika diperlukan sebagai langkah tambahan mengawasi operasi pembekal serta bantuan teknikal di lokasi pengeluaran seluruh dunia.

Katanya, sebilangan besar pembekal Nestle menjalani latihan berkenaan halal, yang menjadi sebahagian daripada syarat utama syarikat di sektor halal dalam pematuhan keperluan pensijilan halal.

“Pembekal di luar negara pula akan mendapat latihan halal daripada badan halal yang diluluskan oleh JAKIM.

“Sebagai contoh, syarikat di Singapura akan menjalani latihan halal dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), syarikat Indonesia dengan Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan syarikat Thailand dengan Central Islamic Council of Thailand (CICOT).

“Kami juga mengadakan latihan tambahan mengenai amalan terbaik halal untuk pembekal terpilih terutama bagi pembekal bahan sensitif dari segi halal,” katanya.

Nestle akan terus berkongsi amalan terbaik halal bersama industri supaya semua akan mendapat manfaat dan berupaya mempertingkatkan operasi halal di Malaysia.

“Inisiatif Nestle ini seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi produk halal hub yang terkemuka di persada dunia,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close