GovernansMalaysia

Belanjawan 2025: Peruntukan Tanaman Semula Sawit Tingkat Hasil Pekebun – Menteri Johari Ghani

Peruntukan bagi proses tanaman semula sawit kepada pekebun kecil dapat membantu meningkatkan hasil bagi golongan berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berharap pekebun kecil dapat memanfaatkan dana bernilai RM60 juta yang diperuntukkan bagi meraih Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menyifatkan peruntukan diberikan kepada pekebun kecil sawit agak kecil, beliau bagaimanapun optimis ia dapat digunakan sebaiknya bagi membantu golongan berkenaan.

“Saya minta banyak tetapi tak semuanya dapat. Namun, ada juga penekanan diberikan kepada pekebun kecil dalam industri perladangan dan komoditi.

“Kita masih mendapat RM100 juta untuk membantu pekebun kecil supaya mereka dapat meneruskan penanaman semula (sawit).

“Walaupun tahun lalu kita dapat RM100 juta, tahun ini pun bagi lagi RM100 juta. Okaylah, ‘slowly’ (perlahan-lahan) kita buat untuk lima tahun akan datang.

Mengenai peruntukan skim tanaman semula sawit, Johari membayangkan pelaksanaannya akan mengekalkan kerangka sedia ada iaitu 50 peratus berbentuk geran, manakala bakinya secara pinjaman dari Agrobank.

“Masih (kerangka pelaksanaan skim tanaman semula sawit) tetapi saya tengok tiada penerangan lanjut). Jadi saya anggap ia 50:50 (50 peratus geran dan 50 peratus secara pinjaman daripada Agrobank).

“Kalau kita dah pakai (keseluruhan peruntukan menjelang) pertengahan 2025 (atau) kalau habis cepat, nanti saya akan buat ‘special paper’ (permohonan) minta (bajet tambahan),” katanya.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa meminta pekebun kecil komoditi di seluruh negara memanfaatkan dana diperuntukkan kepada mereka.

“Datanglah gunakan peruntukan diberi. Yang ada RM100 juta peruntukan tanaman semula sawit (dalam Belanjawan 2024) hampir habis, tetapi sekarang pun sudah hampir hujung tahun.

“Kalau tahun depan kita habis RM100 juta pada pertengahan tahun, mungkin saya akan minta KSU (ketua setiausaha kementerian) buat ‘special paper’ minta (peruntukan tambahan) untuk membantu pekebun kecil,” katanya.

Mengulas Belanjawan 2025 secara keseluruhan, Johari berkata, ia dijangka menyaksikan pengurangan defisit kepada 3.8 peratus, berbanding 4.3 peratus pada 2024 dan lima peratus, tahun sebelumnya.

“Kita perlu mengendalikan belanjawan ini. Selagi kita dalam tahap perlu berhutang, perbelanjaan perlu berhemah dan perlu meningkatkan pendapatan. Inilah yang cuba dilakukan Perdana Menteri,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close