Governans

Belanjawan 2026: Disesuaikan Dengan Dasar Tarif AS, Pengurangan Defisit – Johari Ghani

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjangkakan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Jumaat ini, akan disesuaikan dengan ketidaktentuan pasaran ekonomi global yang terkesan dengan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

Walaupun belum mendapat gambaran sepenuhnya mengenai belanjawan itu, beliau berkata, keutamaan kerajaan hari ini dalam mengurangkan defisit negara akan menjadi fokus belanjawan pertama selepas pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, kerajaan perlu bergerak ke hadapan dan mengimbangi situasi ekonomi global yang berada dalam ketidaktentuan disebabkan dasar tarif AS.

“Kita harus mengambil maklum, kerajaan hari ini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan pada masa sama kedudukan ekonomi global juga terjejas dengan tarif yang dikenakan AS, termasuk ketidaktentuan dalam ekonomi dunia.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang terbabit secara langsung dalam perdagangan terbuka akan turut terkesan, dan dalam proses kerajaan merangka belanjawan, saya percaya ia akan berdepan perkara yang sama iaitu bagaimana untuk mengimbangi defisit,” katanya ketika berucap pada Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) di sini.

Menyentuh mengenai peruntukan kepada kementeriannya dalam Belanjawan 2026, Johari berkata terdapat beberapa perkara penting yang diminta oleh pihaknya khusus untuk pembangunan negara.

BH melaporkan, Belanjawan 2026 pada Jumaat ini dijangka menjadi dokumen penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia di tengah-tengah landskap global yang mencabar.

Ia menjadi belanjawan pertama di bawah RMK13 yang dijangka memberi tumpuan kepada reformasi fiskal, pelaburan strategik dalam infrastruktur, dan kesinambungan agenda subsidi bersasar.

Menurut laporan pra-belanjawan oleh bahagian penyelidikan TA Securities, Belanjawan 2026 dijangka bersifat mengembang dengan unjuran peruntukan keseluruhan sebanyak RM425.5 bilion, meningkat 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Langkah ini, katanya, menandakan komitmen kerajaan untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi domestik walaupun berdepan tekanan luaran. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close