Transaksi DuitNow QR meningkat lebih dua kali ganda kepada 360 juta bernilai RM14.6 bilion pada 2023 berbanding 125 juta transaksi berjumlah RM5.5 bilion pada 2022.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2023 berkata pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh kadar penembusan telefon pintar yang tinggi sekitar 95 peratus dan capaian Internet sekitar 97 peratus dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Hasilnya, terdapat peningkatan yang stabil dalam jumlah keseluruhan e-pembayaran perkapita dan tempat penerimaan DuitNow QR oleh peniaga di seluruh negara,” katanya.
Sejak rangkaian pembayaran DuitNow QR dilancarkan pada tahun 2019 oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), perkhidmatan ini terus menggalakkan ekosistem pembayaran yang lebih inklusif dengan penyertaan yang lebih pelbagai daripada 40 peserta bank dan bukan bank untuk memenuhi keperluan segmen pasaran yang berbeza.
Sistem saling boleh kendali ini memberikan kemudahan dan pilihan yang lebih banyak kepada peniaga dan pengguna.
DuitNow QR juga direka bentuk sebagai kaedah pembayaran yang lebih berkesan dari segi kos, berbanding dengan pilihan pembayaran lain seperti tunai atau kad pembayaran.
Sebagai contoh, penggunaan pembayaran kod QR tidak memerlukan peniaga menanggung kos sewa bulanan terminal semasa jualan (POS) yang lazimnya diperlukan untuk penerimaan kad pembayaran.
Secara kolektif, faktor ini mengurangkan halangan penerimaan e-pembayaran dalam kalangan peniaga, terutamanya peniaga lebih kecil.
Hal ini seterusnya menggalakkan penggunaan e-pembayaran yang lebih meluas dengan merentasi langkah terakhir dalam penerimaan e-pembayaran.
Bagi mana-mana infrastruktur pembayaran, memastikan keselamatan, kekukuhan dan kebolehpercayaan sistem pembayaran adalah sangat penting.
Hal ini memerlukan pelaburan yang berterusan, terutamanya untuk memperkukuhkan keselamatan siber dan kawalan pencegahan penipuan.
Adalah amat penting kawalan ini memiliki piawaian yang tinggi untuk menyediakan perlindungan terhadap ancaman terkini dan pada masa yang sama memastikan perkhidmatan yang cekap kepada pengguna.
Pada peringkat awal pelaksanaan DuitNow QR, PayNet dan industri memberikan pengecualian sementara terhadap fi transaksi DuitNow QR kepada penyedia perkhidmatan DuitNow QR sebagai sebahagian daripada usaha untuk
membiasakan orang ramai dengan pembayaran DuitNow QR serta menggalakkan penggunaannya.
Hal ini seterusnya membolehkan kebanyakan peniaga mengambil manfaat daripada caj kadar diskaun pedagang (MDR) sifar.
Pengecualian ini, yang sepatutnya ditamatkan pada 2022, telah dilanjutkan setahun lagi untuk memberikan sokongan kepada peniaga semasa tempoh pemulihan selepas pandemik
Dengan kegiatan ekonomi kembali normal, pihak industri dengan rundingan bersama BNM telah memperkenalkan model yang lebih mampan untuk menampung semula kos berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan pembayaran DuitNow QR.
Model ini akan memastikan ekosistem pembayaran kekal selamat dan boleh dipercayai untuk pengguna menerusi pelaburan berterusan yang diperlukan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran.
Hal ini termasuk pelaburan dalam langkah-langkah untuk menangani ancaman kepada keselamatan siber dan penipuan yang terus berkembang. – BH ONLINE