GovernansMalaysiaPilihan Editor

Belanjawan 2026: Kerajaan Mampu Beri Lebih Manfaat Hasil Tatakelola Baik – PM

Kerajaan mempunyai keupayaan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat melalui Belanjawan 2026 tanpa perlu menaikkan cukai hasil penjimatan daripada tatakelola yang baik serta usaha memerangi ketirisan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedar peningkatan cukai hanya akan membebankan rakyat, maka pendekatan penjimatan melalui peningkatan kecekapan dan mengurangkan ketirisan menjadi prinsip pentadbirannya.

“Jadi, sebelum kita fikirkan soal cukai kerana kadang-kadang ia membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan pentadbiran kita.

“Kita harus fikir soal kerja kita dan sistem kita warisi yang sekarang ini kita tadbir… adakah ia cekap, dapat kawal ketirisan, kawal rasuah atau penyeludupan,” katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar berkata, jika kerajaan meneruskan momentum dalam mengurangkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun, penjimatan boleh mencecah hingga RM100 bilion dalam tempoh 10 tahun, yang boleh digunakan untuk membangunkan universiti dan menyediakan sistem kesihatan serta pendidikan lebih baik.

“Dalam masa dua tahun, kita (Kerajaan MADANI) selamatkan RM15.5 bilion… itu yang dapat dikesan, bayangkan yang tidak dikesan… jadi, kalau RM100 bilion dalam 10 tahun yang kita dapat ini… bayangkan universiti, pendidikan, klinik, sekolah dan kemudahan untuk anak-anak kita.

“Begitu banyak kemudahan dan kemungkinan untuk naik martabat negara kita sebagai negara yang betul kuat dan hebat,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Belanjawan 2026 yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion dengan mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.

Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat mengumpulkan dan mengoptimum sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan serta syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan serta syarikat MKD. — BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close