GovernansPilihan Editor

Pendekatan Lebih Mampan Dalam Belanjawan 2021 – Zafrul

Belanjawan 2021 memberi peluang yang tepat pada masanya bagi kerajaan mempertimbangkan dan menerima pakai pendekatan lebih mampan untuk mengembangkan ekonomi di samping membina daya tahan negara, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pandemik COVID-19 masih menjadi satu ancaman kepada pemulihan, pembangunan dan pertumbuhan sosio-ekonomi masa depan Malaysia.

“Justeru, dalam melangkah ke hadapan, Malaysia akan kekal bertahan dan sebagaimana digitalisasi dipercepatkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran COVID-19 jadi, kita akan memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkat rantaian nilai.

“Pada masa sama, kita akan menggunakan kelebihan lokasi geografi strategik kita, tenaga kerja yang cekap, pengurusan sumber berhemat, infrastruktur yang cemerlang di samping reputasi baik kita dalam sektor utama termasuk kewangan Islam dan ekonomi halal,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2020 hari ini.

Acara bertema ‘COVID-19: Penilaian Impak Kewangan dan Ekonomi serta Akibatnya’ itu adalah anjuran Institut Strategik Asia Pasifik Kingsley.

Tengku Zafrul berkata sebagai sebahagian Strategi Pemulihan 6R kerajaan, Belanjawan 2021 menumpukan langkah menggiatkan semula ekonomi serta menyasarkan perlindungan kehidupan dan pendapatan, berasaskan momentum pemulihan semasa, dipacu menerusi pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN).

Beliau berkata Belanjawan 2021 akan menggariskan gabungan dasar mesra perniagaan, pengurusan fiskal berhemat serta kaedah transformasi berkesan untuk membangunkan daya tahan negara terhadap kejutan ekonomi masa hadapan.

“Pakej rangsangan ini telah mengurangkan kesan ke atas rakyat dan perniagaan dengan menambah lebih tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini. Menerusi penumpuan kepada bidang-bidang ini, ia akan meletakkan kita pada kedudukan lebih baik untuk memacu trajektori pertumbuhan akan datang,” katanya.

Mengenai komuniti perniagaan antarabangsa dan rakan dagang Malaysia, Tengku Zafrul mengulangi Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan malah kerajaan membantu perniagaan mengekalkan kapasiti pengoperasian mereka melalui inisiatif seperti Program Subsidi Upah yang telah menyelamatkan 2.6 juta pekerjaan, selain program penerimagunaan teknologi yang membantu menaik taraf perniagaan sama ada kecil atau besar.

“Kita lihat wujud tanda-tanda daya tahan Malaysia semasa tempoh mencabar ini. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, negara kita merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) pada suku kedua, menjadikan FDI keseluruhan bernilai RM696.5 bilion setakat penghujung Jun.

“Ini ditingkatkan dengan 726 projek dengan cadangan pelaburan bernilai RM36.7 bilion dalam perancangan,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa tumpuan kerajaan sangat jelas iaitu akan terus menyokong perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, firma peringkat pertengahan dalam sektor utama yang masih terkesan dengan kesan pandemik, di samping memastikan persekitaran yang stabil dan kondusif untuk pelaburan yang masuk selain menjana pulangan bernilai tambah.

“Kita akan menjalankan peranan kita dalam mempertingkat ekonomi gig, yang pantas menjadi bahagian yang perlu dalam pertumbuhan negara, dan mentransformasikan sektor tradisional, di samping melancarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran kerja,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close