MalaysiaPilihan Editor

Biar Perwakilan Tentu Pemilihan Jawatan Presiden, Timbalan – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin ahli parti mampu menilai antara kaca dan permata dalam memilih barisan kepemimpinan baharu pada proses pemilihan parti kelak.

Berucap menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, beliau juga menyahut supaya proses demokrasi dalam parti mesti disuburkan.

“Saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti. Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ (tulen) yang mana ‘fake’ (palsu),” katanya.

“Daripada 119 calon UMNO, hanya enam sahaja yang bertukar di saat akhir atas beberapa pertimbangan. Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan Negeri bersama ‘Top Five’ (lima kepimpinan tertinggi).

“Apakah dengan usaha yang membabitkan semua struktur kepimpinan parti, boleh dijadikan alasan kononnya saya mengecilkan peluang kemenangan?.

“Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti juga, adalah satu langkah mengecilkan peluang kemenangan? Atau apakah mengurangkan persepsi UMNO adalah parti ‘warlord’ juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?” katanya.

Beliau berkata, jika mengandaikan kesilapan percaturan menyebabkan ramai muka baharu tewas pada PRU-15, hakikat sebenarnya muka lama dengan nama besar juga tewas.

“Saya sendiri ditentang oleh tokoh dari PKR di (Parlimen) Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan (PH)?

“Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya iman,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close