MalaysiaPilihan Editor

“Pelancongan Sukan” Berpotensi Memberi Impak Kesejahteraan Ekonomi Di Terengganu – Kata Razali Idris

MOUNT TEBU CLIMBATHON CHALLENGE (MTCC’23), antara pencetus pelancongan sukan

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

Pelancongan sukan atau “Sports Tourism” dilihat berpotensi memberi impak kesejahteraan pada ekonomi Terengganu.

Malahan menerusi pelbagai sukan yang dianjurkan di negeri ini mampu menjadikan pelancongan sukan sebagai satu daya tarikan tersendiri termasuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di sini (Terengganu).

Ini disuarakan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Terengganu, Datuk Razali Idris sewaktu berucap di majlis penyerahan penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’23) di sini.

MTCC’23 akan berlangsung pada 9 September 2023 di Taman Eko Rimba Lata Belatan, Besut, Terengganu.

Acara ini dianjurkan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Ianya merupakan salah satu usaha Jabatan Pelancongan negeri dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu.

Melalui acara ini, Razali berkata, impak ekonomi pelancongan akan terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Besut khusunya samada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit, pulau perhentian dan sebagainya.

“Secara tidak langsung membuka minda penduduk setempat dalam mengambil seberapa banyak peluang ekonomi di sebalik  ribuan pengunjung bertandang di daerah Besut,’ katanya.

Istimewanya Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia. Di kaki gunung yang merupakan Hutan Lipur Lata Belatan sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya disetiap hujung minggu.

Penganjuran MTCC Kali ke 2 ini diadakan bertujuan mengajak orang ramai terutamanya anak muda untuk membudayakan aktiviti riadah dan bersukan sihat dan cergas melalui elemen pendakian gunung.

Penjagaan kesihatan dan kecergasan harus menjadi keutamaan kepada semua orang dan ianya merupakan elemen penting dalam pertumbuhan sesebuah negeri dan negara.

Pemandangan yang cantik, udara yang nyaman dapat dinikmati dari puncak gunung ini merupakan tarikan buat orang ramai sambil menjalankan aktiviti sihat dan cergas. Tumpuan utama pengunjung kesini semestinya setiap hujung minggu dan hari cuti.

Menyedari potensi besar pelancongan sukan, MTCC’23 adalah acara berkonsep ‘Trail Run /Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan ‘Sport & adventure tourism’ di Besut, Terengganu.

Penganjuran terakhir pernah dianjurkan adalah pada 2013.

MTCC’23 menawarkan 3 kategori utama sejauh 18.5km melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita & veteran lelaki dan wanita (KATEGORI CENGAL) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (KATEGORI MERANTI) yang menawarkan  hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,300.  Manakala, satu lagi kategori sebagai ‘Fun Run’ dikenali KATEGORI NYATUH sejauh 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai.

MTCC’23 kali ini akan melibatkan penyertaan seramai 592 peserta yang datang dari seluruh negara termasuk warga tempatan.

“Selamat Datang ke Negeri Terengganu. Kita mengalu-alukan kehadiran semua selamat berkunjung ke bumi Terengganu hujung minggu ini bersama keluarga.

“Untuk kali ini, acara ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja,” ujar Razali.

Pelepasan MTCC yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung pada 7.30 pagi, 9 September 2023. Peserta kategori utama akan mengharungi cabaran denai gunung sejauh 18.5 km naik dan turun dan akan melibatkan Had Masa (Cut Of Time) tiba di Puncak Gunung Tebu dalam tempoh 5 jam sahaja.

Rekod peserta terpantas sebelum ini adalah 1 jam 43 minit 47 saat (Peserta Kenya), manakala rekod peserta tempatan adalah 2 jam 10 minit 09 saat (Peserta MTCC Tahun Lepas) dari Terengganu.

Selain itu, acara ini juga bertujuan salah satu usaha bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Terengganu yang telah dijayakan pada tahun 2022 di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Peranan mereka ini akan digunakan pada tahun 2023 melibatkan apa jua aktiviti pendakian gunung. – BACALAHMALAYSIA.MY/PIC TRDI.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close