MalaysiaPilihan Editor

Malaysia Masih Jadi Destinasi Pilihan Pelajar Antarabangsa

Malaysia masih menjadi destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, walaupun jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini sedikit merosot ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19, namun keadaan mula positif pada 2021 dengan peningkatan semula permohonan sehingga 32 peratus.

“Keadaan ini diperkukuhkan dengan pengiktirafan Kuala Lumpur di tempat kedua dalam QS Top Universities ‘Most Affordable City for Students‘ untuk tahun 2018 dan 2019. Dalam erti kata lain, kos pengajian yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-10, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), di sini, malam tadi.

Noraini berkata, banyak faktor yang boleh dijadikan penarik untuk menggalakkan kemasukan lebih ramai pelajar asing ke negara ini, seperti kualiti pendidikan yang diiktiraf bertaraf dunia.

“Malah buat pertama kalinya, 24 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia telah tersenarai dalam penarafan ini. Ini sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan orang luar terhadap kualiti pendidikan tinggi di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Radzlan Jalaludin berkata pihaknya komited untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi pilihan di peringkat global.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 2012 hingga kini, EMGS bergerak secara agresif untuk menambah baik perkhidmatannya sebagai badan utama yang menguruskan pergerakan pelajar antarabangsa di Malaysia, termasuk memudahkan proses pengurusan visa.

“Pencapaian baru-baru ini terbukti dengan jumlah permohonan telah melepasi sasaran untuk tahun 2021 di mana sebanyak 40,000 permohonan telah diterima daripada pelajar antarabangsa bagi melanjutkan pengajian mereka di IPT di Malaysia.

“Ini sememangnya sebuah pencapaian yang hebat untuk EMGS dan EMGS akan terus menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025,” katanya. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close