Kedai RuncitPilihan Editor

KWAP, Dua Firma Labur RM250 Juta Dalam ZUS Coffee

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bersama KV Asia Capital dan Kapal Api Group melabur RM250 juta dalam pengendali rangkaian kopi yang dipacu teknologi, ZUS Coffee.

Sementara itu, Ernst & Young Malaysia pula bertindak sebagai penasihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi urus niaga yang bakal membuka lembaran baharu dan batu loncatan untuk pertumbuhan ZUS Coffee.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ZUS Coffee, Ian Chua, berkata pihaknya sangat teruja mengalu-alukan rakan kongsi baharu dan pihaknya berharap dapat bekerjasama dalam mengukuhkan rancangan pengembangan antarabangsanya.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan saja akan mengembangkan perniagaan kopi terasnya tetapi juga menyokong langkah pengendali rangkaian kopi itu ke dalam bidang baharu seperti barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

“Visi kami adalah untuk mewujudkan ZUS Coffee sebagai jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat global, berkongsi komitmen Malaysia terhadap kualiti dan komuniti kepada pencinta kopi di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, di peringkat dalam negeri, tumpuan akan diberikan untuk membantu ZUS Coffee mengukuhkan kehadirannya dengan mengembangkan rangkaian kedainya di seluruh negara dan menyumbang secara berterusan kepada masyarakat melalui penciptaan pekerjaan dan inisiatif tempatan.

“Di peringkat antarabangsa, kami teruja untuk membantu jenama itu mengembangkan jejaknya ke pasaran baharu di seluruh dunia, seterusnya memacu ZUS Coffee, dan Malaysia sebagai pemain penting di persada dunia,” katanya.

Rakan Kongsi KV Asia Capital, Jeremy Tan, berkata pihaknya gembira dapat bersama-sama dengan KWAP dan Kapal Api Group untuk menyokong pasukan pengurusan yang hebat untuk memajukan jenama Malaysia ke peringkat pertumbuhan seterusnya.

Beliau berkata, ZUS Coffee telah menunjukkan model perniagaan yang berdaya tahan, kelebihan skala dan budaya inovasi produk yang berterusan.

“Memandangkan ekuiti jenama dan resonansinya dengan pelanggan, kami percaya ZUS Coffee berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan lagi jejaknya di peringkat serantau dan global,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kapal Api Group, Robin Setyono, berkata pihaknya sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada konsortium itu dan pihaknya yakin sepenuhnya bahawa ZUS Coffee akan terus mengembangkan kehadirannya dalam pasaran sedia ada dan baharu.

Beliau berkata, di samping keupayaannya yang mengagumkan untuk berkembang pesat di pasaran asalnya, kekuatan sebenar ZUS Coffee terletak pada pasukan pengurusannya yang tangkas dan bermotivasi, yang komited terhadap inovasi berterusan.

“Kami mendapati nilai mereka sejajar dengan komitmen Kapal Api Group terhadap kualiti dan semangat untuk berkembang bersama.

“ZUS Coffee tidak henti-henti berusaha untuk menyampaikan produk yang lebih baik kepada lebih ramai pengguna dalam pelbagai format, dan kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan yang menarik ini,” katanya.

ZUS Coffee bermula secara sederhana dari sebuah kedai di Kuala Lumpur pada 2019 ketika sebelum pandemik COVID-19, dengan setakat Ogos 2024, bilangan kedainya di Malaysia meningkat 31 kali ganda kepada 550.

Hari ini, jenama itu mengendalikan 600 kedai di serantau dan terus mengembangkan portfolio kedainya secara agresif di Malaysia.

Pada 2023, ZUS Coffee membuka kedai pertamanya di Filipina dan telah menyaksikan penerimaan yang kukuh terhadap jenama dan produknya.

ZUS Coffee mengendalikan kini 50 kedai di Filipina dan ingin menjadi peneraju pasaran di negara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pasaran baharu seterusnya ialah Singapura dan Brunei, yang mana mereka akan membuat kemunculan sulungnya antara September dan akhir tahun ini. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close