Poster GrafikTwo Cents

Budaya Merakyat Mendatangkan Rahmat – Peguam Muda Kampung

 Oleh Faisalludin Moht. Yusuff

 

Kerinduan saya dan berjuta umat Islam di dalam negara ini kepada rumah-rumah Allah tidak terkira lagi.

Masjid yang besar dan begitu indah terbiar kosong dan hanya diimarahkan dengan jumlah yang sangat kecil.

Kalau dulu kita berlumba-lumba menginfaqkan harta kita untuk pembinaan masjid dan surau agar ianya selesa dan cantik, tetapi seselesa manapun sesuatu rumah Allah itu, ianya kini tetap tidak dapat diimarahkan sebagaimana dahulu.

Begitulah Allah SWT mengatur perjalanan hidup kita semua, dengan makhluk yang bernama Covid-19 ini, semua aktiviti kebiasaan kita menjadi terbantut.

Mungkin ini juga tanda kemarahan Allah SWT kepada kita di atas kelalaian dan kemalasan kita untuk mengimarahkan rumah-rumahnya dahulu.

Kali ini saya bukan ingin berbicara berkaitan Masjid atau rumah-rumah Allah, kerana sebagai hamba kita hanya mampu berdoa kepadaNYA agar keadaan sedia ada pulih dan sama-samalah kita berlumba-lumba mengimarahkan rumah-rumahnya kembali.

Tidak juga saya ingin menyentuh keadaan politik ataupun ekonomi semasa yang tidak menentu, apatah lagi saya juga seorang peguam / peniaga yang terjejas teruk dengan situasi ekonomi semasa.

Tetapi kali ini saya ingin berbicara berkaitan “BUDAYA MERAKYAT” yang bukan sahaja telah mengakar tetapi telah sebati di dalam kebanyakan diri rakyat negara ini.

Mereka menyahut seruan Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud “Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan”.

Golongan ini juga saya kategorikan sebagai Frontliners yang sanggup berkorban masa, harta, tenaga hatta nyawa mereka sendiri bagi membantu rakyat yang kesempitan akibat terkesan dengan wabak covid-19 dan terbaru ujian banjir yang amat menakutkan di beberapa tempat di dalam negara ini.

Saya amat kagum dengan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Kebawah Duli Yang Di Pertuan Agong serta ahli keluarganya yang sanggup mencemar duli membantu rakyat jelata yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini.

Sikap merakyat yang ditonjolkan oleh Baginda Tuanku bukannya sesuatu yang baru, tetapi konsistensi Baginda dalam membantu rakyat yang kesusahan amat-amat dikagumi dan menjadi contoh yang baik untuk semua di dalam negara ini.

Individu seperti Ustaz Ebit Liew, Ashraf Muslim dan Uncle Kentang sudah tidak asing lagi di bibir rakyat.

 

Tidak terhad di situ NGO-NGO seperti MBM, ABIM, Belia 4B, Kumpulan-Kumpulan Bermotor Besar, Kumpulan 4×4 hatta AJK Qariah dan Masjid juga berlumba-lumba dalam menyalurkan bantuan tanpa henti dan jemu kepada mereka yang terkesan.

Parti-parti politik juga tidak ketinggalan dalam berlumba-lumba melakukan kebaikan.

UMNO sendiri memang sudah terkenal semenjak dahulu sebagai sebuah Institusi orang Melayu yang sentiasa kehadapan dalam memberi bantuan kepada rakyat yang kesempitan.

Walaupun hilang kuasa pada tahun 2018, UMNO terus membantu rakyat semampunya tanpa jemu dan tanpa kenal erti penat.

Usaha yang dibuat oleh Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan bantuan untuk mangsa Covid-19 pada tahun 2020 diteruskan sehingga tahun ini dan terbaru pelancaran bantuan banjir kepada mangsa-mangsa yang terlibat perlu dicontohi.

Nama Dato Dr. Asyraf Wajdi, Dato Zahida, Skuad Sabil, Pemuda Umno, Puteri Umno dan Wanita UMNO terus gah kehadapan dalam menyalurkan bantuan serta memberi khidmat kepada rakyat tanpa jemu.

Begitu juga dengan parti PAS yang tidak ketinggalan dalam menyahut seruan berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Jabatan Amal PAS adalah nama besar yang tidak asing dalam negara ini terutama dalam menyalurkan bantuan.

Dengan kepakaran dan kemampuan yang ada, mereka juga tanpa jemu terus menerus membantu rakyat diwaktu Covid 19 dan Banjir besar melanda negara ini.

Tidak ketinggalan saya lihat PKR melalui Angkatan Mudanya (AMK) juga bersama-sama membantu rakyat yang kesusahan dan kesempitan akibat wabak yang ganas ini.

Bantuan kewangan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada Negeri Kelantan juga menunjukkan budaya merakyat itu sudah merentasi fahaman politik.

Pujian juga saya harus berikan kepada YB Syed Saddiq yang kebetulan merupakan junior saya di UIAM.

Usaha yang beliau lakukan kepada penduduk Muar terutama kempen “botak challenge” bagi mengumpul dana membeli Komputer untuk diberikan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan sangat mengagumkan.

Pastinya, rakyat negara ini mengimpikan ramai lagi pemimpin mencontohi beliau dalam memberikan sumbangan kepada rakyat.

Bahkan pihak Kerajaan melalui beberapa kementeriannya dan agensi-agensinya seperti JAKIM, JAWI, YaPEIM, YADIM, PUSAT ZAKAT dan BAITULMAL juga tidak ketinggalan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat negara ini yang kesempitan dan menghadapi kesukaran.

Hakikatnya ramai lagi samada secara terang-terangan atau secara sembunyi, berlumba-lumba membantu rakyat yang kesempitan.

Semua ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan kerana “Budaya Merakyat” adalah sikap semulajadi dan DNA rakyat negara ini.

Syabas dan tahniah kepada kesemua hero ini. Anda adalah kebanggaan rakyat negara ini.

Teruskanlah menabur bakti agar dengan izin Allah SWT, wabak ini diangkat dari muka bumi.

Semoga kita semua mendapat keampunan dari Allah SWT “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Ali Imran: 133)

 

  • Penulis ialah Peguam Muda Kampung.

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close