Ekonomi Islam & GlobalGovernansPilihan Editor

LAWATAN KREMLIN: Perkongsian Erat Malaysia-Russia Tidak Gugat Hubungan Negara Lain – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan erat Malaysia dan Russia tidak seharusnya dilihat sebagai isu ‘menang atau rugi’.

Katanya, sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia perlu mengembangkan perkongsian untuk melindungi kepentingan ekonominya.

Beliau menegaskan mengukuhkan hubungan dengan sesebuah negara tidak bermakna melemahkan hubungan dengan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

“Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai soal menang atau rugi. Ia sepatutnya menjadi pelengkap,” kata Anwar kepada pemberita pada hari akhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Russia.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan terbuka. Untuk melindungi kepentingan kita, kita perlu meluaskan pasaran dan perkongsian perdagangan kita,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan dari AS sambil memberi contoh perbincangan yang berlangsung antara agensi Malaysia dengan beberapa agensi AS baru-baru ini.

“Malah, baru minggu lepas, AMD (Advanced Micro Devices Inc) berada di sana (Malaysia). Terdapat perbincangan serius untuk mengembangkan aktiviti (mereka) dan kita sudah pastinya sangat mengalu-alukannya,” kata Perdana Menteri.

Mengenai sekatan yang dihadapi Russia, Anwar mengulangi pendirian Malaysia bahawa hanya sekatan yang disahkan oleh institusi pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diambil pertimbangan dalam dasar luarnya.

“Jika sekatan dikenakan oleh agensi pelbagai hala seperti PBB, sudah tentu kita menghormatinya. Tetapi jika ia adalah tindakan sebelah pihak oleh mana-mana negara individu, sukar bagi kita sebagai sebuah negara merdeka untuk menghormatinya,” kata beliau.

Sementara itu mengenai isu berkaitan pembayaran dibangkitkan oleh perniagaan Malaysia yang beroperasi di Rusia, beliau berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian.

“Terdapat banyak bidang yang tidak berada di bawah sekatan, seperti pendidikan, contohnya. Kita sedang maju ke hadapan dalam sektor itu,” katanya.

Semasa lawatan beliau, Anwar memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama ekonomi terutamanya dalam industri halal dan Kewangan Islam. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close