Ekonomi Islam & Global

China Mahu AS Longgarkan Kawalan Eksport Cip Memori Lebar Jalur Tinggi

China mahu Amerika Syarikat (AS) melonggarkan kawalan eksport terhadap cip memori lebar jalur tinggi (HBM) sebagai sebahagian daripada perjanjian perdagangan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan Financial Times pada Ahad, berdasarkan sumber.

Pegawai China memberitahu pakar di Washington bahawa Beijing mahu pentadbiran Trump melonggarkan sekatan eksport ke atas cip HBM, yang penting untuk pengeluaran cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi, menurut laporan itu yang memetik sumber yang mengetahui perkara tersebut.

Isu ini dibangkitkan dalam rundingan perdagangan selama tiga bulan dengan AS, dan langkah yang dikenakan Washington sebelum ini telah mengehadkan kemampuan syarikat China, termasuk Huawei, untuk membangunkan cip AI sendiri, kata sumber kepada akhbar berkenaan.

Pada pertengahan Julai, Nvidia mengumumkan ia telah mendapat kelulusan daripada pentadbiran AS untuk menjual cip komputer H20, yang digunakan dalam pembangunan AI, kepada China.

Pada Januari, Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan dokumen yang menyatakan AS mengenakan sekatan eksport baharu terhadap cip AI berteknologi tinggi dan model-modelnya bagi melindungi keselamatan negara serta mengelakkan teknologi itu digunakan oleh negara yang dianggap tidak bersahabat. Sekatan itu bertujuan menghalang negara berkenaan daripada menggunakan teknologi AI bagi pembangunan senjata, serangan siber atau pengawasan massa.

Beijing mengkritik langkah tersebut.

Perang tarif secara de facto tercetus antara China dan AS selepas Presiden Donald Trump mengenakan duti 10 peratus ke atas semua import dari China pada Februari dan menaikkannya kepada 20 peratus pada Mac.

Selepas beberapa langkah balas, tarif AS ke atas barangan China mencecah 145 peratus, manakala tarif China ke atas eksport AS ke negara itu mencecah 125 peratus.

Kedua-dua negara bersetuju untuk mengurangkan tarif masing-masing kepada 10 peratus selama 90 hari bermula 14 Mei.

Sehubungan itu, China mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari AS, manakala AS mengenakan tarif 30 peratus ke atas import dari China.

Berdasarkan data bulan Jun, import AS dari China menurun 7.5 peratus kepada AS$18.95 bilion (daripada AS$20.49 bilion pada Mei).

Kali terakhir import berada pada tahap lebih rendah ialah pada Februari 2009, iaitu sebanyak AS$18.85 bilion.

Pada masa sama, eksport AS ke China pada Jun 2025 meningkat 44 peratus kepada AS$9.44 bilion berbanding AS$6.55 bilion pada bulan sebelumnya. -BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close