Malaysia

Rumah Terbuka Meriahkan Sambutan Aidilfitri, Kukuhkan Perpaduan Rakyat

Orang ramai memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini. - FOTO BERNAMA
Orang ramai memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini. – FOTO BERNAMA

Kemeriahan sambutan Aidilfitri bukan hanya dirasai umat Islam, malah turut diraikan masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui penganjuran rumah terbuka, hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan Majlis Istana Terbuka di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, sempena Aidilfitri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat tiba pada jam 9.45 pagi dan turut berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mengambil pelbagai juadah yang disediakan sempena Majlis Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. Kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum hadir meraikan Majlis Istana Terbuka itu. - Foto Bernama
Pengunjung tidak melepaskan peluang mengambil pelbagai juadah yang disediakan sempena Majlis Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti, hari ini. Kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum hadir meraikan Majlis Istana Terbuka itu. – Foto Bernama

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, ketika ditemui Bernama berkata pelbagai juadah disajikan melalui lebih 20 gerai makanan pada majlis bermula jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu.

Pengunjung, Alan Rajasooria, 57, berkata beliau sekeluarga tidak mahu ketinggalan meraikan Aidilfitri, dan menyifatkan Majlis Istana Terbuka sebagai ruang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Di KELANTAN, hujan renyai sejak awal pagi tidak menghalang ribuan rakyat pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran Istana Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Antara yang tidak melepaskan peluang hadir ke majlis itu ialah pasangan suami isteri, Hor Kun Wah, 65, dan Loh Wai Khan, 55.

“Saya dan suami berasa sungguh gembira kerana dapat mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dengan rakan-rakan yang meraikannya. Saya memang amat menyukai masakan dan juadah disediakan orang Melayu,” kata Wai Khan.

Di PAHANG, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lurah Semantan, Temerloh, yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu.

Baginda berdua yang tiba pada jam 10.15 pagi berkenan menyantuni pengunjung sambil diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Di JOHOR, kira-kira 12,000 ‘Bangsa Johor’ memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di kediaman rasminya di Johor Bahru.

Sebanyak 32 gerai menyajikan 22 menu seperti mi rebus, laksa Johor, burasak, ketupat, rendang dan nasi beriani untuk tetamu yang hadir.

 

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim (duduk, tengah) diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga, kanan), berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor, di Saujana, hari ini.
Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim (duduk, tengah) diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga, kanan), berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor, di Saujana, hari ini.

 

K Saravanan, 49, dari Larkin, berkata beliau sekeluarga tidak melepaskan peluang menghadiri rumah terbuka Menteri Besar Johor sejak lebih 10 tahun lalu.

“Apa yang bagus berkenaan rumah terbuka ialah kita bukan saja dapat menikmati pelbagai makanan tetapi yang paling utama, di sinilah semua kaum Melayu, Cina dan India bertemu,” katanya.

Di TERENGGANU, dianggarkan 15,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di kediaman rasminya, Seri Iman di Kuala Terengganu.

Sebanyak 15 jenis juadah menarik disajikan kepada pengunjung, termasuk nasi dagang, keropok lekor dan rojak katih.

 

Orang ramai tidak melepaskan peluang menghadiri pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang menghadiri pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, hari ini. – Foto Bernama

Murid sekolah rendah, Ng Zheng Ren, 9, menarik perhatian apabila hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hijau bersama ibu dan neneknya.

Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin itu berkata, baju berkenaan dibeli sempena majlis sambutan Aidilfitri di sekolahnya pada tahun lalu. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close