Negara merekodkan penjanaan pelaburan hijau sebanyak RM7.88 bilion, tahun lalu hasil pelaksanaan beberapa inisiatif teknologi hijau termasuk skim pembiayaan dan insentif cukai.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata penganjuran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) antara penyumbang utama penjanaan pelaburan hijau.
“Pada 2024, nilai penjanaan pelaburan hijau adalah sebanyak 7.8 bilion, meliputi sumbangan daripada inisiatif GITA, GTFS, dan IGEM.
“Sumbangan ini termasuk komitmen pelaburan yang diraih melalui siri IGEM sejak 2020 yang berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau.
“Dari segi peluang pekerjaan pula, inisiatif IGEM berjaya menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau pada tahun lalu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
“Kerajaan boleh membiayai projek berskala kecil tetapi kalau (projek) berskala besar, ia perlu ada nilai ekonomi. Jika ada nilai ekonomi yang tinggi, maka bank-bank tempatan dan bank kewangan besar akan terbabit.
“Apa yang berlaku adalah kita berdepan dengan masalah (yang mana) banyak syarikat kecil dan sederhana tidak mendapat akses ‘green financing’ (pembiayaan hijau).
“(Bagi kapasiti tenaga mahir pula), memang terdapat keperluan pakar teknikal dalam bidang (hijau) yang membantu dalam mengurus persekitaran.
“Selain itu, kesedaran industri dan masyarakat dalam bidang hijau amat penting supaya semua rakyat di negara ini terbabit secara langsung dalam memainkan peranan mengurangkan gas rumah hijau dalam negara,” katanya. – BH ONLINE




