Pewangi kereta beraroma kopi ?
Eeeh, takkan bau kopi semata-mata ?
Letak pulak di dalam kenderaan, tetapi betul ke bau wangi ala-ala kopi yang mungkin pahit atau bau tidak menyenangkan ?
Nyata tekaan atau persepsi itu jauh sekali meleset ! Ternyata bau pewangi kereta beraroma kopi yang diinovasikan secara hebat mempunyai bau wangi yang premium.
Langkah berani itu menerusi dua jenama tempatan terkenal, minyak wangi De’Xandra dan kafe kopi premium, Richiamo Coffee bekerjasama dengan melancarkan inovasi gaya hidup terbaharu menerusi koleksi pewangi kereta beraroma kopi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) De’Xandra, Safwan Ismail, berkata dengan sasaran melebihi 50,000 botol di Malaysia, kerjasama itu bukan sekadar produk semata-mata, tetapi memberi pengalaman dari segi emosi dan memori melalui aroma kopi.
“Pada perancangan awalnya, produk ini adalah untuk rakyat Malaysia merasai pengalaman campuran wangian dan juga kopi sebelum kami pasarkan ke peringkat antarabangsa,” katanya di majlis pelancaran produk itu di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, baru-baru ini.
Mengenai sasaran untuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa, Safwan berkata pihaknya akan berusaha untuk menembusi beberapa negara di Asia Tenggara, Hong Kong dan China.

Empat varian bauan ikonik yang diperkenalkan itu diinspirasikan daripada minuman kopi kegemaran rakyat tempatan termasuk Caffe Latte, Americano, Mochaccino dan Barista. Pewangi itu juga sesuai digunakan di dalam almari pakaian, bilik tidur dan ruang tamu atau ruang kerja.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah, berkata rangkaian minuman itu sentiasa mengutamakan inovasi bagi memastikan daya saing dalam industri yang amat kompetitif.
“Disebabkan persaingan dalam industri makanan dan minuman yang sangat sengit, kita kena cipta sesuatu yang sentiasa diperlukan oleh isi rumah, seperti pewangi kereta. Apabila orang beli produk ini, sekali gus jenama De’Xandra dan Richiamo ini akan lebih mudah dikenali,” katanya.
Majlis pelancaran produk itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Pewangi kereta itu telah mula dijual di semua cawangan kafe dan pasar mini Richiamo serta melalui ejen dan pengedar sah De’Xandra sejak 1 Jun lalu. – BACALAHMALAYSIA.MY