Minyak sawit Malaysia yang diperakui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bakal menikmati pengurangan tarif antara 20 hingga 40 peratus untuk akses ke pasaran Eropah.
Ia susulan termeterainya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (MEEPA) pada 23 Jun lalu antara Malaysia dan negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) iaitu Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, MEEPA adalah langkah penting dalam memperkukuh daya saing industri sawit negara di pasaran antarabangsa yang semakin menuntut pematuhan kepada prinsip kelestarian.
“Kementerian melihat perjanjian ini sebagai penanda aras penting bagi Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah yang sedang berlangsung dengan 27 negara anggota EU.
“Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memastikan kepimpinan Malaysia dalam kemampanan menerusi MSPO terus dilindungi dalam semua perjanjian perdagangan masa depan termasuk dengan EU,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi mekanisme kuota kadar tarif, pengeksport minyak sawit Malaysia akan memperoleh manfaat pengurangan tarif berdasarkan jenis produk dengan syarat ia mematuhi pensijilan MSPO.
Ketetapan itu menjadikan MSPO sebagai prasyarat utama untuk menikmati kelebihan tarif terbabit.
Lebih penting, Malaysia dan negara-negara EFTA turut menandatangani Penyataan Bersama mengenai Minyak Sawit Mampan, yang secara langsung meningkatkan kepercayaan global terhadap rantaian bekalan minyak sawit Malaysia yang mampan dan bebas penebangan hutan.
MEEPA dijangka membawa tiga impak utama kepada negara iaitu pengurangan tarif bagi produk sawit diperakui MSPO, pengiktirafan rasmi MSPO sebagai piawaian kemampanan negara dan pengukuhan komitmen bersama terhadap ketelusan serta kebolehkesanan rantaian bekalan.
Kerjasama erat antara dua kementerian itu telah membuahkan hasil apabila negara-negara EFTA mengiktiraf sepenuhnya standard kemampanan Malaysia.
Perjanjian itu juga diyakini akan meningkatkan daya saing sektor sawit dari pekebun kecil hingga pengeluar utama dalam pasaran global yang semakin menekankan prinsip hijau dan kelestarian.
Ia sekali gus menyediakan laluan lebih luas kepada penggiat industri untuk menembusi pasaran EFTA dan seterusnya mengukuhkan kedudukan minyak sawit Malaysia dalam rantaian nilai global yang beretika serta mampan. – BH ONLINE