Dagang Net Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Institut Robotik Automotif dan IoT Malaysia (MARii) untuk membangunkan dan mengendalikan bersama sistem maklumat berasaskan web bagi kenderaan terpakai.
DNeX dalam satu kenyataan berkata, sistem itu yang dipanggil Sistem Maklumat Automotif Terpakai (SMAT), akan membolehkan pengguna mencari, mendapatkan kembali dan mengesahkan data kenderaan terpakai seperti pembuatan kenderaan dan model, negara pengeluar, nombor casis, jenis enjin dan bahan api serta tarikh pendaftaran asal, hanya dengan memasukkan nombor rujukan pengenalan khusus.
“Mengikut perjanjian itu, perkongsian tersebut juga termasuk aspek komersial projek termasuk penglibatan dengan peniaga kenderaan terpakai atau pemegang permit dilulus terbuka di Malaysia, pemasaran dan penyediaan kaunter bantuan atau sokongan bagi pelanggan,” kata syarikat itu.
Selain itu, ia berkata, inisiatif ini akan memberi prospek yang baik dengan usaha mencari peluang oleh syarikat bagi membantu mengurangkan jurang pendigitalan dalam perniagaan di semua sektor dan organisasi serta memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan berasaskan kepada teknologi digital bagi pengguna akhir. -BERNAMA