Penetapan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan berkemungkinan mendorong pengusaha kedai makan menaikkan harga jualan makanan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata sejak kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran domestik berikutan penyusutan jumlah penghasilan padi negara, ahlinya beralih membeli beras import sebagai alternatif.
Walaupun menggunakan beras import, katanya, harga makanan berasaskan nasi di premis makanan ahlinya tidak dinaikkan setakat ini.
“Kami harap akan ada langkah penyelesaian daripada pihak kerajaan. Paling tidak, ada pendekatan menang-menang antara kerajaan dan peniaga seperti kami,” katanya kepada BH.
Penetapan dibuat mengikut Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 itu sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi gangguan bekalan beras terbabit di pasaran.
Ketua Pengarah Kawal Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, dilaporkan berkata, keputusan itu mengambil kira gangguan bekalan beras putih tempatan yang dikenal pasti berpunca daripada pembelian secara pukal, terutama dalam kalangan peniaga.
Peraturan susahkan pengusaha
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Tomyam (PERTOM) Terengganu, Zainal Yusof, berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penetapan peraturan baharu itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan BH, semalam.
Mengakui kurang jelas dengan peraturan baharu berkenaan, beliau berkata, keadaan itu pasti menyusahkan pengusaha kedai makan yang menjadi rutin membeli beras dalam kuantiti besar melebihi 100kg.
“Ada pengusaha kedai makan guna beras import dan ada masih menggunakan beras putih tempatan yang harga lebih murah.
“Bila ada had pembelian seperti ini, ia akan menyusahkan pengusaha kedai makan yang banyak bergantung kepada beras berkenaan sehingga mungkin terpaksa beralih kepada beras import.
“Harga beras import jika dibanding dengan harga beras tempatan memang jauh lebih mahal. Jika ada pengusaha kedai makan yang beralih kepada beras import, kesannya mereka terpaksa menaikkan harga makanan,” katanya. – BH ONLINE