Kedai RuncitPilihan Editor

Semua Institusi Kewangan Perlu Mengikuti Langkah Bank Islam Meneruskan Pembayaran Bersasar Sehingga Jun 2021 – Norliza

Oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia mengalu-alukan langkah terbaik Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang meneruskan bantuan pembayaran bersasar yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

Datuk Norliza Abdul Rahim menyifatkan ini suatu langkah yang sangat murni dan prihatin oleh BIMB yang terus komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

“Terima kasih BIMB kerana sentiasa prihatin kepada pelanggannya serta memahami situasi ekonomi semasa negara, malahan langkah BIMB yang turut menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan oleh kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing adalah sangat dialu-alukan langkah berkenaan,” kata Norliza yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Beliau juga mencadangkan semua institusi kewangan dan pinjaman termasuklah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengambil langkah sama bagi meneruskan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021.

Kata Norliza, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar apatah lagi pandemik COVID-19 yang masih belum reda, rakyat masih terkesan dengan keadaan sedemikian.

“Jumlah pengangguran semakin meningkat, peniaga dan peruncit ramai yang gulung tikar, penjaja dan usahawan masih bertungkus-lumus mempertahankan perniagaan masing-masing dan semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, semua tahu bahawa rakyat adalah pelanggan terbesar institusi kewangan dan mereka masih mengalami tekanan aliran tunai yang tinggi malah sudah semestinya mereka ini memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik.

“Saya percaya institusi kewangan sentiasa memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati menerusi pelbagai platform perbankan,” katanya.

Sehubungan itu dalam kenyataan medianya, beliau juga melahirkan harapan besar supaya pembentangan Belanjawan 2021 memberi fokus utama dalam soal membantu rakyat jelata serta memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan Kerajaan terus memberikan sokongan kepada rakyat dan perniagaan serta pelaburan lain dalam mendepani kemelut pandemik COVID-19 dan ekonomi semasa. – BACALAHMALAYSIA.MY

 

 

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close