Duniaku TeknokratPilihan Editor

FGV Melaksanakan Langkah Penting Dalam Usaha Menangani Perintah Pelepasan Penahanan AS

RM72.2 juta dibayar balik kepada pekerja migran; kukuhkan polisi pengambilan pekerja tanpa yuran pengambilan

FGV Holdings Berhad (FGV) meneruskan perkembangan positif dalam usaha syarikat untuk menangani Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

FGV memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelan pemulihan bagi mendukung hak pekerja serta membuat segala penambahbaikan dalam amalan pengurusan pekerja.

Antara komponen utama dalam pelan pemulihan FGV adalah program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang dikenakan oleh pihak ketiga ke atas pekerja-pekerja migran FGV.

Sejajar dengan komitmen syarikat dalam mengamalkan pengambilan pekerja beretika dan bertanggungjawab serta tidak mengenakan yuran pengambilan pekerja, FGV telah memperuntukkan sejumlah RM112 juta bagi membayar balik yuran pengambilan yang telah dibuat oleh semua pekerja migran sedia ada termasuk bekas pekerja migran FGV.

Pembayaran balik kepada pekerja migran sedia ada FGV telah dibuat dalam tiga peringkat yang dibuat pada bulan Mac, Jun dan September 2023. Setakat ini, sejumlah RM72.2 juta telah dibayar balik kepada 19,673 orang pekerja.

FGV telah memperuntukkan sejumlah RM112 juta bagi membayar balik yuran pengambilan yang telah dibuat oleh semua pekerja migran sedia ada termasuk bekas pekerja migran FGV.

Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV telah melantik syarikat konsultan antarabangsa, LRQA – yang sebelum ini dikenali sebagai ELEVATE, bagi kerja-kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang telah dibuat.

LRQA merupakan sebuah konsultan bebas dalam bidang kelestarian dan rantaian bekalan yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja pematuhan sosial dan menangani pertuduhan isu buruh paksa melalui pendekatan  mengutamakan pekerja.

Prosedur pengesahan oleh LRQA yang berjalan antara 30 Oktober dan 24 November 2023 telah menunjukkan bahawa 100 peratus pekerja yang ditemubual telah menerima pembayaran balik yang dibuat oleh FGV.

Maklumbalas positif dari kerja-kerja pengesahan oleh LRQA jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja.

FGV turut melaksanakan program pembayaran balik kepada bekas pekerja migran FGV yang layak menerima pampasan bagi yuran pengambilan pekerjaan yang dikenakan oleh pihak ketiga.

Dengan kerjasama LRQA, FGV sedang bekerja keras menghubungi semula bekas-bekas pekerja migran FGV untuk memaklumkan mengenai program pembayaran balik.

Penghebahan tentang bayaran balik ini disiarkan secara berkala di media sosial serta akhbar-akhbar tempatan terkemuka di negara asal bekas pekerja migran.

Usaha-usaha pembayaran balik bekas pekerja migran FGV ini akan dijalankan sehingga penghujung 2024. Sehingga kini, FGV telah membayar pampasan kepada 415 orang bekas perkerja migran dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1.77 juta.

“FGV komited kepada prinsip ‘tiada yuran pengambilan dikenakan kepada pekerja FGV’ dan kami telah berusaha untuk memastikan prosedur pengambilan pekerja syarikat adalah selari dengan piawaian amalan pengambilan pekerja beretika,” kata Dato’ Nazrul Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.

FGV juga telah memperkukuhkan prosedur-prosedur bagi pengambilan pekerja migran dengan pelaksanaan langkah-langkah tambahan termasuk menugaskan LRQA untuk mengadakan kaji selidik di kalangan pekerja migran baharu bagi memastikan mereka tidak membuat sebarang bayaran pengambilan pekerjaan kepada mana-mana pihak.

Perjanjian terkini FGV bersama agensi-agensi pekerjaan yang dilantik turut menyatakan tanggungjawab mereka untuk memulangkan sebarang bayaran yuran pengambilan pekerja yang telah dilaporkan oleh pekerja-pekerja migran.

Segala pemulangan yang dibuat oleh agensi-agensi pekerjaan akan disemak oleh LRQA. Tambahan lagi, latar belakang agensi-agensi pekerjaan akan disiasat sebelum pelantikan dibuat oleh FGV.

Agensi-agensi pekerjaan juga diwajibkan untuk menjalani proses penilaian dan program naik taraf yang dikendalikan oleh LRQA bagi memastikan pematuhan kepada amalan pengambilan pekerja yang beretika.

FGV percaya bahawa inisiatif-inisiatif serta langkah-langkah ini akan memperkukuhkan amalan pengurusan pekerja FGV, sejajar dengan usaha-usaha FGV untuk menamatkan WRO.

LRQA dijangka akan menjalankan penilaian lanjut pada suku pertama 2024 bagi menilai pelaksanaan keseluruhan perancangan pemulihan FGV.

Sekiranya penilaian tersebut mendapati perancangan pemulihan berjalan lancar, FGV akan menghantar petisyen kepada CBP bagi menamatkan WRO, yang dijangka akan dibuat pada suku kedua 2024.

Komitmen FGV dalam mendukung hak pekerja dan agenda kelestarian adalah sebahagian daripada perkembangan industri ke arah perniagaan beretika dan lestari.

Syarikat-syarikat antarabangsa kini sedang menghadapi tekanan daripada isu-isu seperti buruh paksa serta kemerosotan alam sekitar. FGV ingin menjadi organisasi yang maju dalam perniagaan serta membawa impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat. – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close