Gerakan koperasi Malaysia dengan keahlian sebanyak 6.09 juta dan 14,625 koperasi mampu melakukan perubahan ke atas iklim ekonomi negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau menerusi kenyataan hari ini berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Institut Koperasi Malaysia akan menyelaraskan tindakan untuk mewujudkan kesedaran menerusi inovasi teknologi dan pendidikan terkini.
“Saya berharap koperasi di negara ini dapat merealisasikan misi mereka untuk meningkatkan ekonomi Malaysia melalui pengamalan prinsip dan amalan koperasi terbaik ke arah mencapai kemakmuran bersama,” katanya.
Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi negara, terutamanya komuniti keusahawanan.
Selain itu, sejajar dengan Hari Koperasi Antarabangsa 2020 bertemakan ‘Cooperative for Climate Action’, Wan Junaidi menggesa gerakan koperasi di negara ini secara kolektif menyahut cabaran membangunkan ekonomi tanpa mengabaikan perlindungan alam sekitar menerusi langkah meningkatkan penggunaan teknologi hijau.
Sabtu pertama Julai telah diisytiharkan sebagai Hari Koperasi Antarabangsa oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. — BERNAMA