GovernansPilihan Editor

Perkembangan Teknologi Tingkat Keperluan Bakat Digital – Menteri Kewangan

Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan bakat digital dan ekonomi perkongsian bagi rakyat Malaysia, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malahan, katanya, ia membuktikan perlunya perubahan dalam cara rakyat meneroka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

Justeru, Tengku Zafrul berkata, pelancaran Bulan Literasi Kewangan (FLM 2021) anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) diharap akan dapat menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran, latihan semula dan menjana pendapatan, terutamanya melalui platform digital.

“Peluang ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pekerja gig serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik, bagi membuka peluang menambah pendapatan isi rumah.

“Bagaimanapun, perubahan ini perlu hadir bersama ilmu pengurusan wang untuk membina daya tahan kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada majlis pelancaran berkenaan yang diadakan secara maya.

Tengku Zafrul berkata pengalaman rakyat Malaysia selama 19 bulan lepas dalam mengharungi saat-saat getir pandemik perlu dijadikan iktibar untuk merancang kewangan dengan lebih baik.

Menurutnya, FLM2021 juga menawarkan khidmat nasihat kewangan dan panduan kepada rakyat terutamanya yang terkesan akibat COVID-19 dan penekanan aspek ini amat bertepatan dengan usaha untuk membantu rakyat, lebih-lebih lagi dalam masa yang mencabar ini.

“Inisiatif FLM 2021 juga akan menjelaskan berkenaan modus operandi terkini skim seperti ‘Macau Scam’ dan cara-cara mengelak daripada menjadi mangsa penipuan kewangan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia mendapati sepanjang 2019 hingga Jun lalu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327.9 juta.

FEN telah menjalankan lebih 400 inisiatif bermula Januari 2020 hingga Julai 2021, yang melibatkan hampir 47 juta interaksi bersama rakyat.

Edisi kedua FLM 2021 yang bertemakan ‘Tentukan Hala Tuju Kewangan Anda, Jaga Diri dan Bertindak dengan Bijak’ sepanjang bulan Oktober ini adalah berdasarkan lima strategi utama yang telah digariskan dalam Strategi Kebangsaan.

Lima strategi berkenaan adalah menyemai nilai murni dari usia muda; meningkatkan akses kepada maklumat, instrumen dan sumber pengurusan kewangan; memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran, khususnya belia dan golongan pekerja, termasuklah yang bekerja sendiri; memperkasa amalan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan dan mengumpul dan melindungi harta. – BERNAMA

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close