Dimensi BisnesPilihan Editor

BACALAH AUTO: Crossover premium kompak Jaecoo J5 dilancar pada harga RM108,000

Jaecoo J5 menawarkan empat pilihan warna iaitu Zircon Grey (kelabu zirkon), Snowy White (putih salji), Glacier Blue (biru glasier) dan Canyon Black (hitam kanyon) - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Jaecoo J5 menawarkan empat pilihan warna iaitu Zircon Grey (kelabu zirkon), Snowy White (putih salji), Glacier Blue (biru glasier) dan Canyon Black (hitam kanyon) – NSTP/HAZREEN MOHAMAD

OMODA | JAECOO Malaysia melancarkan model terbaharunya, Jaecoo J5 pada harga RM108,000 seunit (atas jalan tanpa insurans), segmen crossover premium kompak (SUV-B) yang menjadi penanda aras baharu untuk pemandu urban moden.

Majlis pelancaran di ibu negara hari ini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata pengeluar automotif yang beroperasi di Malaysia perlu memperkukuh usaha penyetempatan dengan mengintegrasikan vendor tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian bekalan global mereka.

Menurutnya, kerajaan menggalakkan pengeluar automotif antarabangsa menjadikan Malaysia sebagai hab eksport serantau dengan memanfaatkan ekosistem industri tempatan yang semakin berkembang.

Sementara itu, Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Chris Tan, berkata Jaecoo J5 direka bagi memenuhi keperluan individu dan keluarga yang mahukan keseimbangan antara keselesaan, teknologi serta versatiliti untuk kegunaan harian dan perjalanan hujung minggu.

Dari segi sasaran jualan, syarikat tidak mendedahkan angka khusus, namun memaklumkan hasil jualan terdahulu mencecah 153 peratus dan menyasarkan sekurang-kurangnya menggandakan momentum itu pada tahun ini.

Jaecoo J5 dikuasakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menjana 108 kW (147 PS) dan 210 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik jenis transmisi berubah berterusan (CVT) pacuan roda hadapan.

 

Ruang dalaman lima tempat duduk menampilkan kemasan kulit tiruan premium dengan tempat duduk hadapan berpengudaraan - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Ruang dalaman lima tempat duduk menampilkan kemasan kulit tiruan premium dengan tempat duduk hadapan berpengudaraan – NSTP/HAZREEN MOHAMAD

 

Model itu mencatat penggunaan bahan api gabungan 6.4 liter bagi setiap 100 kilometer mengikut Malaysia Driving Cycle (MDC), sekali gus melayakkannya menerima pensijilan Energy Efficient Vehicle (EEV).

Selain itu, ruang dalaman lima tempat duduk menampilkan kemasan kulit tiruan premium dengan tempat duduk hadapan berpengudaraan. Kapasiti but ialah 480 liter dan boleh diperluas kepada 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dalam konfigurasi 60:40.

Antara ciri utama termasuk bumbung suria panoramik seluas 1.45 meter persegi, skrin infotainmen 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, paparan kluster instrumen digital lapan inci serta pengecas tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan aktif.

Model itu turut menampilkan fabrik dalaman diperakui TÜV yang bersifat antibakteria dan tahan calar, sesuai untuk pemilik haiwan peliharaan.

Dari aspek keselamatan, Jaecoo J5 dilengkapi 19 ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2+, termasuk Amaran Perlanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Automatik, Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh serta Bantuan Kekal Lorong.

Ia turut dilengkapi sistem kamera pandangan sekeliling 540 darjah definisi tinggi bagi meningkatkan keyakinan ketika parkir dan pemanduan kelajuan rendah.

Bersempena pelancaran itu, syarikat menawarkan pakej istimewa terhad dari 5 hingga 15 Mac 2026 yang merangkumi rebat tunai RM3,000, insurans tahun pertama serta pakej aksesori.

Semua unit Jaecoo J5 ditawarkan dengan jaminan kenderaan selama tujuh tahun atau sehingga 150,000 kilometer serta tersedia dalam empat pilihan warna iaitu Zircon Grey (kelabu zirkon), Snowy White (putih salji), Glacier Blue (biru glasier) dan Canyon Black (hitam kanyon). – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close