Turun Naik

Grab Malaysia Bersedia Memanfaatkan Teknologinya Memperkasakan Rakyat Malaysia, IKS & Perniagaan Tradisional

oleh wartawan BacalahMalaysia.my

 

Grab Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan bersedia untuk terus memanfaatkan teknologinya dalam memperkasakan rakyat Malaysia, industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan perniagaan tradisional dalam menerapkan ekonomi digital.

Apatah lagi dalam berhadapan tempoh sukar ekonomi yang terencat akibat COVID-19, Grab Malaysia bersedia untuk membantu Malaysia.

Ini disuarakan oleh Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh yang menyatakan penting bagi kerajaan, platform dan syarikat teknologi untuk bersama-sama membangunkan masa depan pekerjaan sambil menyeimbangkan keperluan pengguna dan kelangsungan perniagaan platform yang memungkinkan ekonomi gig.

“Kami optimis untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang progresif dan digital yang inklusif, dinamik, dan berdaya tahan untuk memacu Malaysia dalam pemulihannya selepas pandemik,” katanya yang dipetik dalam Bernama.

Di bawah pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas, kerajaan akan memberikan geran sepadan sehingga RM50 juta bagi platform ekonomi gig yang menyumbang kepada Skim Bencana Pekerjaan Perkeso dan skim i-Saraan KWSP antara RM162 hingga RM250.

Kemudahan dengan tujuan menggalakkan pertumbuhan sektor itu serta pelindungan sosial pekerja, akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pekerja dan dijadualkan bermula Ogos ini.

Menyambut baik inisiatif itu, golongan pekerja sektor terbabit menyifatkan langkah kerajaan adalah tepat kerana ia membuka peluang dan membantu mereka menyediakan simpanan untuk hari tua, selain sebagai suntikan semangat kepada pekerja.

Dalam laporan Bernama, penghantar makanan, Muhammad Azri Mahyuddin, 27, berkata langkah kerajaan itu amat membantu golongan pekerja sepertinya memulakan simpanan dan mengatur urusan kewangan.

“Sebelum ni, ramai antara kami tiada KWSP nak buat caruman atau simpanan… bila dah ada (PENJANA), dapatlah bantu kami… kami pun lebih semangat nak kerja,” katanya.

Pemandu e-panggilan, Ahmad Akmar Saidon, 35, pula mencadangkan agar inisiatif itu diteruskan untuk tempoh yang lebih lama bagi membantu dan menggalakkan lebih ramai pekerja ekonomi gig menabung demi masa hadapan.

Ekonomi gig adalah segmen ekonomi yang memfokuskan pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan dipacu penggunaan teknologi digital.

Dimensi pekerjaan sektor itu yang lebih fleksibel, semakin meningkat popular sejak akhir-akhir ini, terutama generasi muda, malah ekonomi gig juga dijangka terus berkembang pada 2020 selaras kadar pengangguran yang juga dijangka semakin tinggi rentetan pandemik COVID-19.

Dilaporkan sebelum ini, kajian AmBank Research menganggarkan kira-kira 37,260 diberhentikan kerja pada 10 bulan pertama 2019 dan jawatan kosong dalam pasaran tenaga kerja berada pada angka 83,700.

Manfaat pelindungan sosial bagi pekerja di sektor ekonomi gig yang kelihatan samar sebelum ini, kini dilihat lebih terjamin menerusi geran sehingga RM50 juta untuk platform ekonomi gig di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Langkah kerajaan menyediakan kemudahan itu melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan hanya memberi manfaat secara langsung kepada pekerja, malah mampu merangsang dan mengembang segmen ekonomi tersebut.

Syarikat perkhidmatan kurier, Lalamove Malaysia, optimis kemudahan itu akan menarik minat lebih banyak rakyat Malaysia khususnya golongan penganggur menceburi ekonomi yang lebih fleksibel itu.

Inisiatif secara langsung itu akan membuka peluang lebih ramai golongan belia dan penganggur menjana pendapatan tambahan.

“Geran kerajaan RM50 juta akan membolehkan platform ekonomi gig menyumbang kepada skim KWSP dan Perkeso untuk memperkukuhkan simpanan persaraan pekerja serta perlindungan keselamatan sosial.

“Geran PENJANA akan mewujudkan perlindungan yang lebih baik untuk pekerja gig,” menurutnya menerusi kenyataan kepada Bernama.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close