Skuad hoki lelaki negara tetap berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 walaupun tewas 4-5 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir, sebentar tadi.
Pada aksi yang mendebarkan itu, Jepun terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ooka Ryoma pada minit ke-15 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan melalui jaringan padang Mohd Fitri Saari pada minit ke-30.
Malaysia kemudian mendahului permainan apabila Marhan Mohd Jalil menjaringkan gol pada minit ke-32 sebelum Syed Syafiq Syed Cholan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36 untuk meletakkan skuad Speedy Tigers selesa di hadapan.
Namun Jepun bangkit merapatkan kedudukan melalui jaringan Matsumoto Kazumasa pada minit ke-38 sebelum Fujishima Raiki menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52.
Jepun terus memberi tekanan dan berjaya mendahului selepas Yamasaki Koji menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-55 dan ke-57 untuk meletakkan Jepun di hadapan.
Faizal Saari cuba menghidupkan peluang Malaysia apabila menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59, namun jaringan itu tidak cukup untuk menghalang Jepun daripada mencatat kemenangan.
Walaupun tewas, Malaysia tetap mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 kerana slot ketujuh kejohanan itu diberikan kepada pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi antara dua pasukan yang kalah dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di kedua-dua kelayakan.
Berdasarkan ranking dunia semasa, Malaysia berada di kedudukan ke-14 dunia dengan 2,207.46 mata, jauh mengatasi Wales di tangga ke-15 (2,098.71 mata) dan Poland di kedudukan ke-20 (1,873.98 mata). – BH ONLINE/FOTO CREDIT TO MHC




