Pilihan EditorTwo Cents

2021 Tahun Bangkit Kembali – Peguam Muda Kampung

  Oleh Faisalludin Moht. Yusuff

 

Tiada siapa yang pernah menjangka, pada tahun 2020 anak-anak tidak ke sekolah, umat Islam tidak menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di rumah-rumah Allah seperti mana biasa.

Tiada lagi kelibat ahli keluarga yang menunaikan haji dan umrah, apatah lagi bercuti keluar negara sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

Inilah yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah Ali-Imran ayat 54 yang bermaksud “Dan mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik Perancang”.

Semuanya ini bermula dengan hamba Allah yang diberi nama Covid-19 yang melanda negara kita di awal tahun 2020 yang lalu.

Ekonomi negara dan rakyat tidak terkecuali dari menerima tempiasnya.

Bukan sahaja ramai rakyat yang hilang pekerjaan, syarikat kecil mahupun besar terpaksa gulung tikar dan terbaru, agensi penarafan antarabangsa, Fitch Rating telah menurunkan penarafan Malaysia dari A- kepada BBB+.

Ditambah lagi, seorang Menteri sebagaimana yang dilaporkan oleh BH Online pada 21.12.2020, telah menyatakan bahawa Kerajaan mungkin terpaksa meminjam jika Covid 19 masuk gelombang keempat.

Mungkinkah gelombang keempat bakal berlaku bilamana kes harian covid-19 yang sentiasa meningkat.

Tidak berhenti setakat itu, berita-berita di luar negara yang mendakwa keberkesanan vaksin covid-19 dicurigai sehingga ada beberapa negara membatalkan dan menangguhkan sementara penggunaan vaksin tersebut.

Ini suatu yang amat membimbangkan kepada rakyat dan negara.

Maka tidak hairanlah jika ada yang mengatakan tahun 2020 adalah tahun yang mendukacikatan, tidak dijangka dan memeritkan bagi kebanyakan rakyat.

Keadaan-keadaan yang dialami oleh rakyat di dalam negara pada tahun 2020 jelas menggambarkan bahawa rakyat tertekan, hilang punca, terkejut dan ramai juga yang masih berdukacita.

Di dalam hal ini, saya teringat kisah yang sangat mashur dan menjadi sejarah dalam dunia Islam.

Kisah yang digelar sebagai Tahun Dukacita Baginda Rasullullah SAW. Nabi Muhd SAW telah kehilangan orang yang paling disayangi, iaitu pakciknya Abu Talib dan isterinya yang dikasihi, Saidatina Khadijah pada tahun yang sama dan tempoh yang amat dekat.

Ada yang mengatakan dalam 2 bulan dan ada juga yang mengatakan dalam tempoh 3 hari sahaja.

Kedua mereka adalah tulang belakang Baginda Rasul. Tempat mengadu, berbincang dan mereka jualah yang membela Baginda dari tohmahan, ujian dan khianat para musuh-musuh.

Perjuangan awal baginda rasul sangat bergantung kepada 2 susuk tubuh ini yang sama-sama membantu Baginda.

Baginda berasa sangat sedih dan pilu yang tidak terkata.

Siapa yang pernah merasai kehilangan mereka yang disayangi pasti memahami perasaan yang dihadapi oleh Baginda.

Bukan setakat itu, Baginda terus menerus menerima musibah dan ujian yang bertali arus bersendirian tanpa sebarang sokongan sehinggalah ada yang meriwayatkan bahawa Baginda putus harapan.

Baginda mengambil sikap untuk berhijrah ke Taif, tetapi layanan yang diberi oleh penduduk Taif semasa itu sangat mengecewakan dan menambahkan lagi kesengsaraan Baginda Rasul.

Tiada siapa yang mahu memberi perlindungan kepada Baginda, sebaliknya mereka menyakiti dan mengejek Baginda Rasul sehingga berdarah dahi Baginda dibaling batu.

Sedih dan bukan alang kepalang bak pepatah melayu, sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah dasyatnya ujian yang dihadapi oleh Baginda.

Tetapi Baginda Rasul tidak pernah merasa putus asa dan kecewa.

Bahkan Baginda bangkit kembali dengan penuh semangat menjadi Pemimpin yang ulung sehingga terbentuknya Daulah Islam yang dihormati dan nikmat Islam serta Iman dapat kita kecapi sehinggalah ke hari ini.

Apakah rahsia kesabaran dan kecekalan yang membuatkan Baginda kembali bangkit sehingga Baginda menjadi pemimpin yang paling disegani di dunia ini dan agama Islam tersebar luas sehingga ke hari ini.

Tidak lain lagi ianya adalah disebabkan faktor keimanan dan pengharapan kepada Allah yang sebenar-benarnya.

Walaupun kehilangan orang yang dikasihi ditambah cercaan dan hinaan oleh penduduk Mekah dan Taif tanpa henti,

Baginda yakin dan tidak pernah berputus asa dari mengharap bantuan dan bimbingan Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud “Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi darjatnya, jika kamu orang beriman”.

Begitu juga di dalam Surah At-Taubah ayat 40 yang bermaksud “Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Yakinlah!, bahawa wabak covid-19 adalah dari Allah SWT. Ujian kesusahan, kepayahan, kehilangan pekerjaan, kehilangan orang yang tersayang adalah juga tanda sayang dan kasihnya Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Insyallah, pasti wabak covid-19 ini akan berlalu pergi dan sinar cahaya bakal menerangi semula kehidupan ini kerana itulah sunatullah di dalam kehidupan ini.

Ingatlah kita kepada firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Rad ayat 17 yang bermaksud “Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya, tetapi yang bermanfaat kepada manusia akan tetap ada di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan”.

Ayuh kita lupakan kisah duka yang lalu.

Kita jadikan semangat dan tunjuk ajar Baginda Rasul yang bangkit kembali dari kedukacitaan kepada kejayaan yang gemilang.

Ayuh kita satukan saf perpaduan di dalam negara, tanpa mengira warna kulit mahupun bangsa, kita bina semula negara ini seumpama tanah yang tandus subur menghijau dipenuhi tumbuhan yang memanfaatkan seluruh alam.

Pastinya selepas kesulitan akan ada kemudahan dan kesenangan. Percayalah kepada rahmat Allah “Dan janganlah sesekali kamu berputus asa dari rahmat Allah” (surah Yusuf ayat 87)

SELAMAT TINGGAL TAHUN 2020 YANG MENGAJAR KAMI ERTI KESEDIHAN, KELEMAHAN SEBAGAI MANUSIA, MENYEDARKAN KAMI SEMULA DARI TIDUR YANG LENA.

SELAMAT DATANG TAHUN 2021, MOGA IA MEMBAWA SINAR KEPADA SEMUA DAN SEMOGA ALLAH MEMAKBULKAN APA YANG KITA RANCANG SELAMA INI.

 

  • Penulis ialah peguam muda kampung yang cintakan negara Malaysia.

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close