MalaysiaPilihan Editor

MEMILIH PRU15: ‘Beri Peluang BN Tadbir Parlimen Gombak Kali Ini’

Calon Ahli Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mahu pengundi memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir kawasan berkenaan seterusnya menyelesaikan masalah yang sudah 15 tahun membelenggu penduduk.

Beliau berkata, walaupun pentadbir sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Besar dan Menteri Kanan kementerian namun pihaknya melihat tiada sebarang tindakan diambil terutama menyelesaikan isu perparitan dan pengurusan sampah di kawasan itu.

“Kalau saya cakap nanti orang kata kita ni bercakap tak benar, tetapi cuba lihat bagaimana peniaga di kawasan ini, jiwa mereka memberontak. Kita sedih bila dimaklumkan peniaga terpaksa menanggung kerugian disebabkan tiada sistem pengurusan di kawasan ini.

“Isu perparitan dan banjir di kawasan Greenwood ini tidak diselesaikan, isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan ini bukan soal kita nak salahkan sesiapa.

“Isu sampah ini pada kita mungkin soal biasa, tetapi untuk peniaga ia sehingga menjejaskan perniagaan mereka. Lihatlah bagaimana peniaga ini menangis bila tiada pembeli di gerainya kerana sampah tidak diuruskan dengan betul,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Pasar Pagi Taman Greenwood, hari ini.

Megat Zulkarnain yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor mahu pengundi memberikan peluang kepada BN untuk mentadbir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

“Berilah peluang kepada BN dan lihatlah bagaimana parti ini dapat selesaikan isu berkaitan dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai tarikh pembentangan manifestonya, Megat Zulkarnain berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas beberapa perkara ditambah baik.

“Kita sedang perbaiki (manifesto) dan secara dasarnya sudah maklumkan beberapa perkara iaitu soal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pembinaan kompleks sukan.

“Cuma tinggal satu dua perkara untuk diselesaikan, paling lewat sehari dua lagi kita akan umumkan. Kita mahukan manifesto mampu dilaksanakan, tidak mahu hanya berjanji,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close