Tuah tidak memihak kepada skuad hoki lelaki negara apabila tewas 3-4 di tangan Sepanyol menerusi penalti ‘shootout’ pada aksi penentuan ke suku akhir dalam saingan Piala Dunia 2023, sebentar tadi.
Aksi yang berlangsung di Stadium Kalinga di Bhubaneswar itu terpaksa ditentukan menerusi penalti ‘shootout’ selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik tamat masa sebenar perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Sepanyol melangkah ke suku akhir dan akan bertemu Australia manakala Speedy Tigers akan kembali ke Rourkela beraksi menentang pasukan bawahan bagi penentuan ranking.
Terdahulu, skuad negara bimbingan Arul Selvaraj bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang yang disudahkan penyerang prolifik, Faizal Saari pada minit ke-35.

Namun, Speedy Tigers tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-49 sekali gus mengheret perlawanan ke penalti ‘shootout’.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia sebelum ini ada menduduki tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu yang turut berlangsung di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15. – BH ONLINE