MalaysiaPilihan Editor

Perkenalkan Garis Panduan Untuk Industri Dengan Segera Sebagai Langkah Interim – MVIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus memperkenalkan garis panduan untuk industri vape pada kadar segera sebagai satu langkah interim memandangkan Menteri Kesihatan telah mengumumkan undang-undang vape untuk diluluskan di Parlimen akan ditunda, kata wakil industri vape hari ini.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, industri vape telah memohon peraturan sejak tahun 2015 lagi.

“Sepanjang masa ini, di samping membangunkan industri, pemain industri telah beroperasi dengan mengawal selia sendiri dan mematuhi piawaian yang tinggi untuk memastikan tiada produk dijual kepada golongan bawah umur.

“Penundaan ini amat mengecewakan kerana industri memerlukan satu kepastian untuk bergerak ke hadapan.

“Tiada sebarang kata putus daripada Kerajaan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh industri vape walaupun terdapat perbincangan daripada Kerajaan untuk mengawal selia industri itu.” kata Rizani dalam satu kenyataan media.

Pengumuman semasa Belanjawan 2022 tahun lepas mengatakan akan ada pelaksanaan cukai ke atas cecair vape yang mengandungi nikotin.

Bagaimanapun ia juga telah ditangguhkan tanpa sebarang jangka masa diberikan.

“Dengan penundaan dalam meluluskan undang-undang, industri vape yang mempunyai lebih daripada 15,000 pekerja dan lebih daripada 3,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan ini akan terus dibiarkan tanpa sebarang hala tuju yang pasti daripada Kerajaan,” menurut Rizani.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok di Parlimen bagi mengawal selia vape dan tembakau telah ditangguhkan, bermakna peraturan dan cukai berkaitan vape nikotin juga tidak dapat dilaksanakan.

Pada Oktober 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul dalam pembentangan Bajet 2022 telah mengumumkan pelaksanaan duti eksais sebanyak RM1.20 setiap ml ke atas gel atau cecair berasaskan nikotin untuk vape dan rokok elektronik.

Duti tersebut yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2022 telah ditangguhkan sehingga kini memandangkan KKM masih belum mengecualikan cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 kerana Kerajaan masih belum melaksanakan undang-undang untuk mengawal selia produk vape.

Rizani menambah bahawa keadaan semasa kini merugikan industri, pengguna dan Kerajaan.

“Industri vape tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai undang-undang dan piawaian  cecair vape yang mengandungi nikotin.

“Pada masa yang sama, pengguna terus membeli produk tiada piawaian manakala Kerajaan pula tidak mengawal selia atau mengenakan cukai  kepada produk vape.

“Ketidakpastian itu juga menghantar mesej yang salah kepada pelabur antarabangsa dan domestik dalam industri,” katanya lagi.

Rizani percaya ada jalan penyelesaian terhadap masalah ini jika Kerajaan serius tentang melaksanakan kawal selia industri.

“Sebagai langkah interim sementara menunggu undang-undang vape, Kerajaan seharusnya membuat terlebih dahulu satu garis panduan untuk industri.

“Garis panduan tersebut perlu memberikan hala tuju yang jelas kepada pemain industri tempatan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam aktiviti jualan bagi memastikan tiada jualan kepada golongan bawah umur.

“Di samping itu, garis panduan itu juga perlu memberi panduan mengenai pembungkusan produk vape, kandungan yang dibenarkan di dalam cecair vape termasuk jumlah nikotin yang dibenarkan.

“Dengan cara ini, garis panduan itu dapat membantu industri membuat persediaan untuk peraturan apabila undang-undang diluluskan kelak.” – BACALAHMALAYSIA.MY

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close