GovernansPilihan Editor

Unit Pembangunan Bumiputera, Jawatankuasa Agenda Bumiputera Bakal Ditubuhkan

Kerajaan akan menubuhkan unit dan jawatankuasa khas bagi mengawal selia usaha memastikan penyertaan syarikat Bumiputera sebanyak 60 peratus dalam pembangunan rangkaian teknologi selular generasi kelima atau 5G, tercapai sebagaimana dirancang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata Unit Pembangunan Bumiputera dan Jawatankuasa Agenda Bumiputera akan ditubuhkan bawah Digital Nasional Berhad (DNB).

Beliau berkata, cadangan itu sudah dibentangkan dan dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera, 15 Jun lalu, dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bertindak sebagai sekretariat dalam pelaksanaan kawal selia berkenaan.

“TERAJU selaku Agensi Penyelaras Utama bagi pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera, merancang pelbagai inisiatif serta intervensi strategik bagi memastikan penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembangunan rangkaian 5G sebanyak 60 peratus sebagaimana diumumkan DNB, tercapai.
“Ini termasuk pelaksanaan dasar ‘Carve Out and Compete’ kepada projek pembangunan rangkaian sistem 5G bagi memastikan pembabitan besar oleh Bumiputera dalam rantaian nilai pembangunan rangkaian 5G, dengan penekanan kepada dasar perolehan mengutamakan produk, perkhidmatan dan kepakaran tempatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (PN-Tasek Gelugor) mengenai peranan TERAJU bagi memastikan penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembangunan rangkaian 5G sebanyak 60 peratus, tercapai.

Selain itu, beliau berkata, Program Pembangunan Vendor melalui pelaksanaan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula akan berperanan membangunkan kapasiti dan keupayaan syarikat Bumiputera.

“Ini kerana ada skop pembangunan infrastruktur rangkaian 5G yang turut membabitkan syarikat GLC seperti Telekom Malaysia Berhad (TM) berkaitan ketersambungan gentian optik,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Shabudin mengenai impak penyertaan syarikat Bumiputera dalam pembangunan infrastruktur 5G, Abdul Latiff memaklumkan, sejumlah 500,000 pekerjaan dijangka diwujudkan melalui usaha berkenaan.

“Kita juga akan memastikan banyak syarikat pemula mendapat manfaat, dan menjangka menarik pelaburan asing bernilai lebih RM70 bilion ke negara kita apabila teknologi 5G dimuktamadkan pada 2025,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close