JPMorgan menaikkan penarafannya bagi Malaysia kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun berada pada penarafan ‘di bawah wajaran’ didorong perkembangan positif seperti pembaharuan dasar, pelaburan pusat data dan pembangunan infrastruktur.
Ketua Strategi Ekuiti Asia-Pasifik (tidak termasuk Jepun/China) JPMorgan, Rajiv Batra, berkata pihaknya positif terhadap Malaysia dan tahap kemajuan yang dicatatkan pada masa ini adalah mengejutkan syarikat kewangan multinasional itu.
Beliau berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini di samping pertumbuhan pendapatan hampir menjejaki 10 peratus hingga 11 peratus, membolehkan Malaysia berhak mendapat pujian di atas peningkatan yang bermakna itu.
“Justeru, kami menaikkan penarafan. Kami menaikkan penarafan Malaysia selepas hampir enam tahun daripada penarafan ‘di bawah wajaran’,” katanya dalam temubual di Asia Squawk Box, program berita perniagaan televisyen CNBC Asia.
Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan beberapa dasar yang sukar dan membuat pembaharuan di negara ini seperti melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Belanjawan Ekonomi MADANI.
Mengenai bukti sama ada persepsi pelabur berubah atau tidak, Rajiv berkata, melihat kepada pasaran ASEAN tahun ini yang mengalami AS$7 bilion aliran keluar dalam pasaran ekuiti, Malaysia juga bermula pada tahap rendah dengan kira-kira hampir AS$150 juta hingga AS$160 juta aliran keluar pada suku pertama.
Namun, katanya, pada suku kedua, pelabur asing kembali dengan kira-kira AS$200 juta.
Satu lagi bukti pula, jelasnya, berdasarkan pengembaraannya dalam tiga hingga lima minggu, banyak pihak sudah mula mengalih perhatian kepada Malaysia sekali lagi dan bertanya di mana harus mereka melabur sekarang.
Rajiv berkata, Malaysia mempunyai pelbagai tema berita yang menarik termasuk pembangunan pusat data yang hangat diperkatakan pada masa ini.
Beliau berkata, Pulau Pinang pula telah membuktikannya sebagai hab teknologi secara keseluruhan.
Selain itu, katanya, Malaysia juga menerokai kenderaan elektrik (EV), tenaga hijau serta solar.
“Justeru, dengan mengambil kira semua faktor ini, pelabur asing melihat bahawa terdapat pelbagai sektor dan idea untuk dimainkan di sana.
“Ingat…Malaysia juga adalah salah satu pasaran besar dari segi permodalan pasaran seperti Singapura, Indonesia, Thailand.
“Pelabur asing sedang mengambil langkah kecil dan meletakkan wang tetapi masih melihat tahap pemilikan asing, ia hanya 19 peratus…belum mencapai puncak 35 hingga 40 (peratus) lagi,” katanya.
Mengenai cara kerajaan meyakinkan rakyat negara ini untuk mengambil langkah berani mengurangkan subsidi, Rajiv berkata, kerajaan menanganinya dengan menyediakan bantuan tunai kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, rakyat juga menyedari bahawa penjimatan subsidi akan digunakan untuk kegunaan produktif dalam ekonomi seperti mengukuhkan kecelikan, meningkatkan semula kemahiran dan dasar gaji progresif, yang cuba diambil inspirasi oleh negara ini daripada Singapura. – BH ONLINE