Pilihan EditorTwo Cents

KACAMATA KU: Mengangkat Nama Tuhan Sebagai Titian Keamanan

Oleh Dzulkifli Abdul Razak

Rukun Negara menganjurkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai tonggak asas dan utama dalam penyatuan negara majmuk, berbilang agama dan budaya.

Anehnya, soal penggunaan nama Tuhan sering menggundang berbagai reaksi dari kumpulan serta pengikut ajaran berkaitan. Bagaimana lenggok dan rentaknya sukar diduga. Rencam sifatnya mengikut pelbagai nada. Sisi politik utamanya, kadang kala, mengatasi agama. Yang tersurat menenggelamkan tersirat.

Begitu juga dengan yang berniaga. Semua boleh dijual beli belaka asal membawa laba, kaya raya.

Syurga neraka tidak segera. Dunia adalah segala-galanya. Pangkat, darjat, kuasa, dendam kesumat perlu diselesaikan sebelum ke kubur.

Dalam kubur lain cerita. Janji soal dunia beres dahulu. Kubur boleh tunggu.

Mana tahu mendapat kemaafan yang dikini agak lumrah mengikut kedudukan dan darjat!

Alam kubur dari mata dunia agak melekakan menurut nafsu.  Maka tidak hairanlah suasana menjadi hangat. Ramai ingin mengadu nasib membawa “kebenaran” masing-masing bagaikan kiamat!

Semuanya hendak bercakap, tiada yang mahu mendengar.

Terus  buntu dengan gaya dan kerenah tersendiri bersama kelompok pengampu. Lantang,  membinggitkan.

Selainnya tidak dipentingkan. Musyawarah, rundingan tidak penting, perpaduan pun semacam tidak dihiraukan. Sudah tentunya nama Tuhan dan letakNya lebih penting dari segala-gala. Hal ini wajar dipertahankan selagi hayat dikandung badan. Selagi terbukti ada maksud yang tidak suci, dengki dan busuk hati.

Maka wajar dipastikan supaya tidak terpesong kepada Yang Berhormat memegang tampuk kuasa; malah persis kepada Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa! Keegoan jangan melata!

Pun begitu, jika direnung dengan teliti, ia bukanlah satu perkara baru. Nama Tuhan sudah “dipermainkan” sejak lama lagi. Hanya tidak riuh rendah seperti kini.

Ambil sahaja contoh pelekat tampalan di cermin-cermin kereta warga seluruh negara. Mungkin tidak nampak salahnya menyatakan secara terbuka “kecintaan” kepada Tuhan masing-masing.

Asalkan jangan tujuan menunjuk-nunjuk dan angkuh – “aku melebihi yang lain, sehingga sampai ke keretaku.” Walaupun keretanya tidak selayak mana bagi menampung nama Tuhan, semahal mana sekalipun.

Tuhan tidak memerlukan ataupun mensyaratkan namaNya ditampal merata-rata pada kenderaan sesiapa sahaja. Bukan seperti pelekat jenama makanan segara, boleh mendapat keutamaan dan potongan harga.

Bagi pelekat nama Tuhan, tidak pun disuruh apa lagi dituntut. Apatah lagi kenderaannya “kotor” penampilannya, tidak berjaga dan nama Tuhan terpampang padanya.

Tidak langsung persepadanan bagi Dzat yang Maha Suci. Ada pula pelekat yang sudah luntur dan pudar menyalahi SifatNya. Tidakkah ini memperkecilkan nama Tuhan?

Kadang-kala terletak di tempat tidak kena, berhampiran tandas awam berbau hancing, apatah lagi kekadang mengekori kenderaan lain yang mengangkut bahan menjijikkan. Sentiasa terdedah, berhujan, berpanas, berembun dan berpercikan segala macam cecair tidak terkawal. Siapa yang bertanggungjawab? Mereka yang mengakui keretanya melebihi yang lain tahapnya?

Mungkin yang setia ingin mencari “barakah” dengan berlaku sedemikian. Mana mungkin sekiranya “kecintaan” hanya berpura-pura dan sambil lewa seperti tertera berganda-ganda.

Lebih baik membawa surah Yasin  bersama dalam kereta. Lebih bermakna membacanya dan doa perjalanan yang sesuai ataupun mendengar ayat-ayat suci tanpa bergantung kepada pelekat atau tampalan tertentu bagaikan “azimat.”

Cari cara-cara yang lebih selesa, tanpa risiko “mempermudahkan” nama Tuhan umumnya.

Sayugia, agama jangan disamakan dengan sukan. Yakni lebih diukur dari bersorak-sorai dan kibaran sepanduk serta simbolnya. Diarak ke hulu ke hilir tanpa gerak haluan yang jelas antara penyokong setia.

Ada yang tergila-gila. Apabila disergah, pantas melambung mencetuskan huru-hara dan mendatangkan ketegangan tidak diundang walaupun boleh dielakkan melalui keluhuran hati budi. Sebaliknya, sewajarnya yang beragama sepadan dengan nilai asuhan memerlukan keheningan jiwa lebih mendalam untuk menjangkau akan matlamat lebih tinggi daripada makam cetek menang-kalah bersukan dan berpolitik sempit.

Agama mencari hikmah, bukan kuasa menjadi popular tidak kira apa!

Menggadai berbagai benda dan rupa. Matlamat menghalalkan cara. Cakap tidak serupa bikin.

Lantas, asuhan perlu bermula dengan keyakinan diri kepada Ilahi terkesan secara dalaman melangkaui sepanduk luaran sifar nilai.

Agama memaafi kerana Tuhan Maha Pengampun sesiapa menginsafi dengan jujur. Tidak perlu lompat parti atau menawar diri dengan harga murahan.

Yang ikhlas sentiasa mendekati Ilahi serba serbi. Perlindungan Tuhan mudah perolehi sekira tidak sangsi akan namaNya disanjung tinggi sebagai Dzat berdiri sendiri. Maha Pengadil, sifat terpenting juga bagi semua makhlukNya, khas kepada para pemimpin yang hakiki. Lambaian kubur tidak dilupai.

Semoga beroleh Restui Ilahi, bersempena Hari Raya Aidil Fitri. Mengangkat namaNya meninti keamanan jiwa raga. Maaf Zahir Batin. – BACALAHMALAYSIA.MY

  • Penulis adalah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close