Dimensi BisnesPilihan Editor

Kerajaan Perlu Teliti Kesan Laksana Cukai Barangan Mewah

Cukai Barangan Mewah perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan dinilai dengan teliti kesannya terhadap tingkah laku pengguna, terutama membabitkan perbelanjaan pelancong asing, demikian menurut pakar percukaian.

Rakan kongsi di firma penasihat cukai bebas TraTax, Renganathan Kannan, berkata buat masa ini belum jelas sama ada akan terdapat mekanisme pembayaran balik untuk pelancong yang membeli barangan mewah bagi kegunaan di negara asal mereka.

“Negara seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan beberapa negara lain mempunyai cukai mewah, tetapi dengan perbezaan yang besar dalam skop dan mekanisme.

“Masih belum dapat dilihat sama ada cadangan cukai mewah Malaysia akan dikuatkuasakan melalui kadar cukai jualan berbeza, kadar duti eksais berbeza atau melalui cukai baharu sepenuhnya,” katanya.

Antara barangan yang akan dikenakan cukai berkenaan ialah jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.

Sementara itu, Renganathan berkata, hasil keseluruhan Kerajaan Persekutuan dianggarkan berkurang sebanyak satu peratus daripada RM294.4 bilion pada 2022 kepada RM291.5 bilion pada 2023, terutamanya disebabkan oleh pengurangan dalam hasil bukan cukai seperti pendapatan pelaburan dan pendapatan daripada lesen dan permit.

Katanya, faktor lain yang menyumbang kepada penurunan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 ialah jangkaan pengurangan hasil cukai daripada komoditi yang sensitif harga, iaitu cukai pendapatan petroleum dan duti eksport yang banyak bergantung kepada harga minyak sawit mentah.

“Pengurangan hasil daripada sumber-sumber ini diimbangi oleh anggaran kenaikan cukai pendapatan korporat walaupun tiada pengenaan semula Cukai Makmur pada tahun ini.

“Peningkatan kecil dalam kutipan cukai juga dijangka membabitkan cukai pendapatan peribadi, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan duti setem,” katanya.

Beliau menambah, hasil cukai kerajaan bukan sahaja bergantung kepada dasar cukai tetapi juga kepada usaha penguatkuasaan.

“Dari segi penguatkuasaan cukai, pengecualian penalti cukai untuk pengakuan sukarela diberikan sehingga 2024.

“Memandangkan ini membabitkan dua tahun fiskal iaitu 2023 dan 2024, kesan inisiatif ini terhadap hasil cukai 2023 agak sukar untuk diukur,” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close