MalaysiaPilihan Editor

SIDANG KHAS DEWAN RAKYAT: Jangan Terburu-buru Buka Sempadan – YB Nurul Izzah

Kelonggaran sekatan perjalanan dan pembukaan sempadan negara secara terburu-buru akan mengundang gelombang penularan baharu COVID-19.

Mengambil contoh Iceland dan England, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh), berkata kedua-dua negara maju itu mengambil keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi serta kemasukan pelancong luar.

Selepas beberapa bulan, katanya, negara terbabit merekodkan peningkatan jangkitan kes, menjangkau enam angka dalam tempoh empat minggu atau sebulan.

“Jadi, jangan kita buka atau beri kelonggaran secara terburu-buru, selain hanya meletakkan kebergantungan kepada vaksin semata-mata, tanpa mengambil kira aspek lain.

“Iceland bergantung kepada vaksin dan membuka negara mereka, dengan terima pelawat dari luar, sekali gus mengundang peningkatan kes meskipun Iceland sudah capai liputan vaksin mencecah 85 peratus.

“Kita kena bersedia. Ini realiti yang perlu dihadapi dan tidak boleh hanya bergantung kepada vaksin,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Nurul Izzah berkata, Parlimen juga wajar menjadi cerminan terbaik kepada rakyat, dengan mengamalkan dasar berkaitan bagi membendung risiko penularan COVID-19.

Meskipun hampir 18 bulan berdepan dengan pandemik, katanya, kaedah pengudaraan secara semula jadi masih tidak diterapkan di Parlimen, sekali gus bakal menimbulkan tanda tanya mengenai kewajaran pelaksanaan pendekatan sedemikian dalam kalangan rakyat.

“Kalau Parlimen pun tidak buat pengudaraan secara semula jadi, sukar nak kita harap usaha sama dalam kalangan rakyat,” katanya.

Menjelang musim tengkujuh pada penghujung tahun, Nurul Izzah membangkitkan keperluan kerajaan untuk merangka pelan tindakan bersesuian, demi menangani kemungkinan kewujudan kluster di pusat pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, kebimbangan itu harus diberikan tumpuan utama memandangkan kanak-kanak dan remaja, iaitu individu berusia 18 tahun ke bawah ketika ini masih tidak diberikan suntikan vaksin.

Sementara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) meminta pembangkang membentangkan pelan alternatif bagi menguruskan pandemik COVID-19, berbanding menyuarakan kritikan secara membuta tuli.

“Janganlah pembangkang berterusan nak tuding dan saling mengungkit. Cari salah siapa di sebalik penularan COVID-19 ini. Sebaliknya kemukakan pelan untuk diambil tindakan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – BH ONLINE

BacalahMalaysia Team

Berita portal paling trending di negara ini. Tanpa prejudis menjadikan suara rakyat didengari sewajarnya, ada kelainan, dekat di hati masyarakat dan pemerintah. Currently the country's most trending news portal. Prejudice free website that prioritizes and listens to the voice of the people with a difference, community and authority friendly

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close